Wafiq bimbang trend poligami rahsia

Dr Rafidah Hanim Mokhtar - Foto ROSLI TALIB
Dr Rafidah Hanim Mokhtar - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) bimbang dengan trend poligami yang dilakukan secara rahsia yang berlaku sekarang.

Presidennya, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, trend itu boleh memberi impak buruk kepada institusi kekeluargaan.

"Saya ambil satu contoh, kalau suami tidak beritahu siapa bakal isteri kedua, latar belakang bakal isteri itu tidak akan diketahui dari segi akhlaknya, status kesihatan dan sama ada bakal madu itu adalah pekerja seks dan sebagainya.

"Jadi saya rasakan kita kena tengok kelompongan yang berlaku hingga trend ini semakin menjadi-jadi. Perlu juga dilihat impaknya kepada rumah tangga pertama kerana rumah tangga kedua tidak sepatutnya meruntuhkan rumah tangga pertama," katanya.

Dr Rafidah Hanim berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-223 bertajuk 'Sindiket poligami: Scam yang dah lama berleluasa?' yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini pada malam Khamis.

Selain beliau, wacana itu turut menampilkan panelis iaitu Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan aktivis masyarakat, Mona Din, manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan sebagai moderator.

Dr Rafidah Hanim berkata, berikutan itu mahkamah perlu meneliti kelompongan itu yang menyebabkan perkahwinan terjadi tanpa pengetahuan isteri.

"Banyak kes yang berlaku bila isteri rasa dikhianati dan ditipu, kebanyakannya berakhir dengan penceraian dan kita tidak mahu perkara itu berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya risaukan juga adalah trend komunikasi yang tidak berjalan dengan baik antara suami dan isteri. Undang-undang syariah menetapkan, bagi permohonan kelulusan poligami, perlu kehadiran pihak isteri dan pihak berkaitan ke mahkamah untuk menilai kemampuan si suami.

"Sekarang kalau bentuk komunikasi walaupun si suami tak mampu lakukan (hingga berlalu poligami rahsia), bagaimana dia nak mengemudi rumah tangga kedua," katanya.

Katanya, situasi itu juga akan memberi kesan kepada psikologi anak-anak apabila mengetahui bapa mereka berpoligami dalam keadaan menipu.

Sehubungan itu, Dr Rafidah menasihatkan wanita agar tahu hak mereka dan lelaki pula perlu memelihara institusi kekeluargaan.

Katanya, wanita yang ingin dinikahi sebagai isteri kedua juga perlu berfikir panjang sama ada dia akan mendapat hak atau tidak sekiranya nekad untuk berkahwin.