Presiden Pafa: 'Saya tak kan tolak'

Ahmad Faizal (tengah) pada sidang media, turut kelihatan, Hasnul Zulkarnain (kanan) dan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How.
Ahmad Faizal (tengah) pada sidang media, turut kelihatan, Hasnul Zulkarnain (kanan) dan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How.
A
A
A

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan menolak sekiranya beliau dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) pada kongres luar biasa (EGM) persatuan itu, Disember depan.

Menurutnya, kesediaan untuk menerima jawatan tertinggi itu sebagai menghormati keputusan dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pafa sebelum ini, yang sebulat suara melantik beliau sebagai presiden baharu.

"Saya terima baik apa yang diputuskan Exco Pafa, saya difahamkan Pafa akan adakan EGM pada 6 Disember depan dan jika nama saya dicalonkan, saya tidak akan menolak," katanya kepada pemberita pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pafa setuju lantik MB sebagai presiden baharu]

Beliau berkata, fokus utama kini adalah untuk memastikan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu mampu beri saingat hebat dalam aksi Liga Juara-Juara AFC dan menunjukkan kualiti permainan tinggi di pentas antarabangsa.

"Ini hajat yang saya fikir sesiapun presiden mahu lakukan dan jika perlu saya ambil alih untuk pastikan perkara itu berlaku, saya bersedia.

"Saya sendiri tak pernah terlibat dalam Pafa, tetapi kalau mereka fikir saya sesuai, saya akan berikan komitmen saya untuk pastikan pasukan Perak di tahap tertinggi," katanya.

Ahmad Faizal percaya, kedudukan menteri besar selaku presiden juga akan memudahkan kemudahan dan fasiliti diterima Pafa.

"Untuk menteri besar menjadi presiden, memang ada cara untuk memudahkan Pafa bergerak, saya faham itu dan kerana itu saya boleh terima," katanya.

Artikel Berkaitan:


Kekosongan jawatan presiden berlaku disebabkan keputusan peletakan jawatan dibuat Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pada 8 November lalu.