Semua laluan lebuh raya berdekatan kuil dibuka semula

Litrak
Litrak
A
A
A

SUBANG JAYA - Semua laluan utama di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) termasuk berdekatan Kuil Sri Maha Mariamaman di USJ 25, di sini, yang ditutup kepada pengguna sejak petang semalam dibuka semula pagi ini.

Penutupan laluan utama di Kilometer S 1.4 arah barat Puchong menghala ke Lebuhraya Elite itu dilaksanakan oleh pihak polis sebelum ini atas faktor keselamatan.

Ketua Jabatan Komunikasi Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata, ia rentetan insiden yang berlaku di kuil tersebut.

Beliau berkata, pihak konsesi lebuhraya membantu pihak polis menutup laluan terlibat sejak 5.30 petang semalam hingga jam 3.40 pagi ini.

"Laluan yang ditutup sejak petang semalam kini sudah dibuka semula untuk pengguna. Keadaan trafik kini lancar," katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Terdahulu, pengguna yang menggunakan laluan utama LDP dilencongkan ke arah jalan susur Putra Height dengan bantuan unit pengurusan trafik, Polis Bantuan Litrak dan unit Penguatkuasa Peronda Lebuhraya (EMPV) yang berada di lokasi.

Lencongan menyebabkan trafik sesak namun terkawal sepanjang penutupan sementara tersebut.

"Tiada kejadian tidak diingini dilaporkan setakat ini," katanya lagi.

Menurutnya, untuk perkembangan dan maklumat trafik terkini, pengguna lebuh raya akan diberitahu dari semasa ke semasa melalui akaun media sosial rasmi Litrak - akaun Twitter (@ LDPtrafik) dan Facebook (LITRAK Group), pemberitahuan radio serta paparan papan elektronik 'variable message sign' (VMS).

Artikel Berkaitan:


"Sebagai alternatif, pengguna juga boleh hubungi kami melalui Talian Bantuan LDP di 0374947333.

"Keselamatan pengguna lebuh raya merupakan keutamaan Litrak, kami mohon kerjasama pengguna berkenaan insiden ini. Kami mohon maaf atas setiap kesulitan yang timbul," katanya.