Banjir lumpur: SAR lelaki hilang ditangguhkan

Anggota APM dan bomba sedang melakukan SAR mencari warga Bangladesh yang dikhuatiri hilang semasa banjir lumpur melanda Lojing di Gua Musang.
Anggota APM dan bomba sedang melakukan SAR mencari warga Bangladesh yang dikhuatiri hilang semasa banjir lumpur melanda Lojing di Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Bangladesh yang dikhuatiri hilang semasa banjir lumpur melanda Lojing di sini terpaksa ditangguhkan susulan cuaca buruk.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Leftenan (PA) Ahmad Izanuddin Huzaizi berkata, SAR yang sudah masuk hari kedua akan kembali disambung pada Rabu.

"Seramai 21 anggota pasukan penyelamat yang terdiri daripada APM, polis, bomba, Unit Anjing Pengesan Bomba dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Bomba turut digerakkan dalam usaha mengesan Akhund Md Ziarul, 57," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, SAR itu turut dibantu oleh empat orang rakan mangsa yang merupakan pekerja ladang di kawasan Lojing.

Beliau berkata, anggota penyelamat berdepan kesukaran dalam SAR memandangkan struktur muka bumi di kawasan tersebut mengalami perubahan yang ketara susulan kejadian banjir lumpur.

"Kawasan itu telah diliputi pasir-pasir, kayu-kayu balak, bongkahan batu besar serta bahan-bahan binaan yang menyukarkan operasi.

"Selain anggota penyelamat turut berdepan risiko kerana struktur tanah di kawasan itu dilihat tidak kukuh. Ia boleh mendatangkan bahaya jika tidak berhati-hati," katanya.

Ahmad Izanuddin berkata, hasil perbincangan dengan pasukan penyelamat yang lain kata sepakat telah dicapai untuk operasi SAR itu ditangguhkan pada jam 5 petang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, misi pencarian akan diteruskan pada Rabu dengan jarak keluasan empat kilometer dari tempat kejadian.