Lelaki sakit mental pecah pintu kaca bank

Mohamad Noor Yusof Ali
Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki yang ditahan kerana memecahkan pintu kaca sebuah bank di Jalan Tun Ismail di sini Sabtu lalu, dipercayai menghidap masalah mental selain berada dalam keadaan mabuk, semasa melakukan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek yang berusia 45 tahun dari Skudai, Johor merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pernah mendapatkan rawatan bagi penyakit tersebut.

Katanya, suspek yang ditahan pada 11.45 pagi Sabtu, telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut.

“Suspek dipercayai menggunakan sebatang besi yang diambil dari sebuah kereta Perodua Kancil di luar bank tersebut, sebelum digunakan untuk memecahkan dua pintu kaca premis berkenaan.

“Semasa disoal, suspek mendakwa dia berbuat demikian kerana mahu mengambil wang simpanannya yang berada dalam bank itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, Mohamad Noor menafikan dakwaan kesan pecah tersebut diakibatkan oleh cubaan merompak, seperti sangkaan orang ramai.

Pada perkembangan berasingan, Mohamad Noor menasihatkan penduduk Kuantan untuk patuh arahan berpindah sebaik sahaja diarahkan pihak berkuasa, dan bukannya menunggu sehingga saat-saat akhir demi keselamatan mereka.

Orang ramai yang memerlukan bantuan juga boleh menghubungi polis di talian hotline 09-514 3799, 09-5652090 dan 09-5142999.

Artikel Berkaitan:

- Bernama