Taska Genius Perpaduan dibuka berperingkat mulai hari ini

Taska Genius Perpaduan dibuka secara berperingkat mulai hari ini. - Foto Bernama
Taska Genius Perpaduan dibuka secara berperingkat mulai hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Taska Genius Perpaduan memulakan operasi secara berperingkat bermula hari ini mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, tarikh permulaan operasi itu adalah serentak dengan tarikh pembukaan taman asuhan kanak-kanak (taska) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri dan daerah masing-masing.

Menurut kenyataan itu, operasi Taska Genius Perpaduan di Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan mula beroperasi hari ini, manakala di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan daerah Jempol, Negeri Sembilan akan dibuka pada Isnin.

Sementara di Labuan akan mula beroperasi pada 11 Januari, manakala di Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan, taska berkenaan akan mula beroperasi pada 15 Januari.

“Setiap guru hendaklah menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan ke Taska Genius Perpaduan seperti yang diarahkan KKM,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pembukaan Taska Genius Perpaduan itu diharapkan dapat membantu ibu bapa yang memulakan waktu kerja secara normal dan memerlukan penjagaan anak-anak ketika mereka berada di tempat kerja.

“Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mengamalkan norma baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri,” katanya.

Kementerian berkenaan turut memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan operasi Taska Genius Perpaduan mematuhi garis panduan pencegahan penularan Covid-19 pasca PKP bagi keselamatan warga taska dan arahan semasa oleh MKN dan KKM.

Artikel Berkaitan: