Pas ikrar terus perkasa MN, pertahankan PN

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berikrar untuk memperkasakan gagasan Muafakat Nasional (MN), dalam masa sama mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sehubungan itu berkata, Pas tidak mahu terlibat atau dilibatkan dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan, seterusnya mengundang kepada ancaman terhadap keamanan, kehidupan dan ekonomi rakyat.

"Pas sebagai sebuah parti politik utama negara yang berprinsipkan Islam dengan tegas berpandangan bahawa aspek perpaduan amatlah penting dalam proses bina negara demi kepentingan rakyat.

"Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui MN, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan kerajaan PN, Pas berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan yang amat sukar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas berpegang teguh dengan Piagam Muafakat Nasional, kata Takiyuddin

Berikutan itu, Takiyuddin berkata, semua pimpinan politik terutama di pihak kerajaan perlu terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar daripada peristiwa lampau demi kemaslahat rakyat yang memerlukan pimpinan yang baik dan berintegriti.

"Pas amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita yang tercinta ini," katanya.

Artikel Berkaitan: