Spekulasi Khalid calon BN hanya provokasi

Azhari (kiri) dan Abdul Rahman
Azhari (kiri) dan Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Spekulasi mengaitkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon BN pada PRK Dun Semenyih pada 2 Mac depan hanyalah provokasi semata-mata, kata Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Menurutnya, pihaknya berpendapat terdapat ramai lagi calon berkelayakan dan mempunyai kredibiti lebih baik untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Buat masa ini saya tak ada dengar pula (mengenai pemilihan Khalid). Saya rasa itu hanya provokasi sahaja menjelang hari penamaan calon ini," katanya kepada Sinar Harian selepas program Bicara Minda bersama Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Karangkraf hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Khalid Ibrahim taruhan BN, bakal berdepan situasi sukar

Sebelum ini, timbul desas-desus mengaitkan Khalid yang dikatakan bakal diangkat menjadi calon BN untuk PRK Dun Semenyih susulan hubungan baik antara Umno dan Pas sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Azhari memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan soal pemilihan calon kepada pucuk pimpinan parti bagi membuat membuat penilaian sebaiknya berhubung perkara itu.

"Kita di bahagian akan terima siapa sahaja calon yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan dan pada kali ini, namun pemilihannya harus dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan individu itu benar-benar berkelayakan dan dapat diterima rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri berkata, spekulasi yang mengaitkan Khalid sebagai calon BN hanyalah merupakan khabar angin yang dimainkan oleh banyak pihak menjelang musim pilihan raya ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan perkara itu berikutan senarai calon telah diserahkan oleh Umno Selangor kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan sebaiknya berhubung perkara itu.

"Keputusan hanya akan dibuat oleh Timbalan Presiden dan hanya beliau yang tahu calon untuk mewakili BN pada kali ini," katanya.

Di samping itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya juga berharap agar momentum kemenangan BN di PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini akan dapat membuka mata rakyat bagi menyatakan kekecewaan mereka terhadap pimpinan kerajaan yang diterajui oleh PH.

Tambah beliau, rakyat perlu menterjemahkan kemarahan mereka melalui kertas undi dengan memilih calon BN untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Walaupun kita tak dapat merampas Selangor jika menang kali ini, namun sekurang-kurangnya kita dapat momentum untuk menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap janji manifesto PH yang gagal dilunaskan," katanya.