Pemandu, kelindan nyaris maut lori terbalik

Keadaan lori yang membawa muatan kayu palet yang terbalik di KM5 Jalan Lipis - Merapoh pada Sabtu. - Foto Ihsan polis
Keadaan lori yang membawa muatan kayu palet yang terbalik di KM5 Jalan Lipis - Merapoh pada Sabtu. - Foto Ihsan polis
A
A
A

LIPIS - Seorang pemandu lori dan kelindannya nyaris maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik di Kilometer 5 Jalan Lipis - Merapoh dekat Simpang Tempoyang malam Sabtu.

Ketika kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam itu, mangsa yang menaiki lori jenis Volvo muatan kayu palet dalam perjalanan dari Mieco Padang Tengku menuju ke Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, apabila sampai di tempat kejadian, salah satu tayar lori berkenaan telah pecah lalu menyebabkannya terbalik ke sebelah kiri.

"Akibat kemalangan ini, pemandu yang berusia 52 tahun mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Kuala Lipis, manakala kelindan berusia 45 tahun tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerja-kerja pengalihan kenderaan tersebut telah dijalankan menggunakan tadano dan kren.

"Kejadian ini tidak melibatkan halangan lalu lintas," katanya.

Artikel Berkaitan: