'Semua pihak perlu berlapang dada, hentikan pertelingkahan'

Mohd Nassuruddin Daud
Mohd Nassuruddin Daud
A
A
A

PASIR MAS - Semua pihak perlu berlapang dada dan menghentikan pertelingkahan bagi meraikan kerjasama antara politik demi kepentingan ummah.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, Pas telah membuat keputusan sebelum ini untuk memperkuatkan Perikatan Nasional, sekali gus Muafakat Nasional dipertahankan.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami dengan jelas dan orang Islam semestinya perlu bersatu.

"Jadi kita kena pastikan di negara kita ini, orang Melayu yang beragama Islam yang dominan. Kalau kita bersatu, dan kita tidak ketepikan orang bukan Islam, mereka bernaung di bawah keadilan Islam, itu yang kita mahu.

"Sama ada UMNO atau Bersatu, kita mesti bersatu. Kalau kita berpecah, orang lain yang akan menguasai kita. Jaga ummah lebih daripada peribadi," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan sumbangan kepada pasukan PGA Batalion 7 Kuantan di Pos Sempadan Meranti, Kampung Pak Itam, di sini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh.

Mengulas lanjut, katanya, dalam konteks Kelantan, hubungan antara UMNO, Pas dan Bersatu berada dalam keadaan baik, namun, beliau mengakui negeri lain mungkin berdepan sedikit kelainan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dan semua pihak perlu berlapang dada, termasuklah juga kepada ahli Pas sendiri.

"Kita kena utamakan kepentingan ummah daripada kepentingan peribadi. Banyak bertolak ansur. Cara kita mewujudkan perpaduan ini, kita mesti tolong menolong dalam perkara yang kita sepakat.

"Dalam perkara yang kita tidak boleh sepakat, kita perlu memaafkan. Kita ada al-Quran dan hadis sebagai panduan kita," katanya.