Terus perkasa sektor awam dalam cabaran Covid-19

Muhyiddin berucap merasmikan secara maya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Isnin.
Muhyiddin berucap merasmikan secara maya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Cabaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia tidak menghalang usaha memperkasa sektor awam yang merupakan salah satu daripada agenda utama kerajaan memastikan sistem perkhidmatan cekap, telus dan mesra rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggungjawab golongan itu adalah untuk membudayakan normal baharu dalam cara kerja supaya perkhidmatan ini tetap dapat disampaikan secara efektif kepada golongan bersasar di samping meningkatkan produktiviti kerja.

Muhyiddin berkata, beliau menekankan inisiatif untuk menambah baik aspek integriti dan tadbir urus kerajaan bagi memastikan kecekapan dan ketelusan pengurusan pentadbiran seperti melalui usaha membanteras amalan rasuah.

Malah katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara warga kerja barisan hadapan yang sering terdedah dengan tarikan rasuah, maka usaha membanteras jenayah ini perlu kekal sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan secara meluas dalam kalangan penjawat PBT.

"Ini agar kita dapat mewujudkan sebuah budaya kerja yang berintegriti tanpa berkompromi dengan mana-mana nilai dan etika.

"Saya sedar dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam termasuk barisan petugas hadapan yang turut menjadi sebahagian daripada anggota kakitangan awam yang menggadaikan masa dan tenaga untuk melindungi kita sewaktu pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan secara maya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) kali ke-27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Presiden ANUALE Semenanjung Malaysia, Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat.

Artikel Berkaitan:

Dalam video 10 minit secara maya itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyeru agar PBT dan agensi yang berkaitan dapat turun ke lapangan dengan lebih kerap untuk meninjau dan memahami keadaan semasa dan meneliti isu-isu berhubung warga kakitangan mereka yang saban masa bertemu dengan orang ramai untuk menyelesaikan urusan seharian.

Menurutnya, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan penjawat awam, beberapa inisiatif telah diumumkan baru-baru ini menerusi Belanjawan 2021 seperti bantuan khas secara one-off sebanyak RM600 kepada kakitangan awam dengan gred 56 dan ke bawah, manakala pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen layak mendapat elaun sebanyak RM300.

Katanya, persidangan perwakilan ini merupakan peluang kepada semua warga ANULAE berbincang dan menyuarakan pandangan tentang isu-isu berkaitan kebajikan ahli dan bersama-sama berganding bahu untuk memastikan hak dan kebajikan setiap kakitangan awam dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.

"Saya juga berharap agar kesatuan ini akan terus memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dalam komuniti setempat dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PBT," katanya.