Malaysia, Doha dijangka tandatangan MoU bidang kesihatan

No Image Caption
A
A
A

DOHA - Malaysia dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Qatar mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan itu diutarakan semasa pertemuannya dengan Menteri Kesihatan Awam Qatar Dr Hanan Al Kuwari di sini.

“Kami telah berbincang mengenai potensi-potensi kerjasama dua hala yang boleh diteroka dalam bidang perubatan, antaranya berkaitan pelaburan dalam industri penjagaan kesihatan, Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan untuk rakyat Qatar, bidang farmaseutikal dan penyelidikan,” katanya.

Bercakap kepada media Malaysia di akhir lawatan rasmi tiga hari ke Qatar, Dr Wan Azizah berkata menteri kesihatan awam Qatar turut menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dan ini akan membolehkan perbincangan lanjut dibuat dengan rakan sejawatannya di Kuala Lumpur.

Timbalan perdana menteri berkata beliau amat berpuashati dengan lawatannya ke Qatar yang disifatkan berjaya memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Qatar.

“Saya amat berbesar hati dengan jaminan Emir Qatar akan hasrat negara itu untuk mempereratkan lagi hubungan dengan Malaysia yang ditadbir kerajaan H.

“Saya percaya dan yakin bahawa perkara-perkara yang dibincangkan semasa lawatan ini akan menjadi asas bagi perbincangan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Emir Qatar semasa lawatan beliau ke Malaysia yang dijadual 5 hingga 7 Disember ini,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pada hari terkahir lawatannya ke Qatar, beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Dr Khalid Mohammed Al Attiyah merangkap Menteri Negara untuk Hal Ehwal Pertahanan Qatar.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, Dr Khalid turut berkongsi maklumat mengenai program Latihan Khidmat Negara untuk golongan remaja berumur 17 hingga 18 tahun yang sedang dilaksanakan di Qatar.

Dr Khalid sedia membantu sekiranya Malaysia berhasrat untuk menghantar delegasi bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai perkara itu.

Lawatan rasmi Dr Wan Azizah ke Qatar adalah yang pertama selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri setelah Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum lepas.

Dalam lawatan itu, beliau diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.- Bernama