Hafizh Syahrin mohon cap dagang BO55KU

Carian Sinar Harian di laman sesawang MyIPO berkaitan cap dagang BOSSKU yang dipohon oleh Hafizh.
Carian Sinar Harian di laman sesawang MyIPO berkaitan cap dagang BOSSKU yang dipohon oleh Hafizh.
A
A
A

FRASA bossku dilihat menjadi satu fenomena dalam kalangan rakyat di negara ini.

Wujud pandangan mengatakan perkataan itu pada awalnya terkenal di Sabah dan digunakan dalam pertuturan harian masyarakat di sana.

Tidak dinafikan, penggunaan frasa itu turut dipopularkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti malu apa bossku, malah ada pihak mula mencetaknya di baju dan pelekat.

Namun begitu, frasa bossku itu sebenarnya sedang dalam proses kelulusan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai cap dagang telah dibuat pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh Syahrin berkata, permohonan itu telah dibuat pada 30 Ogos tahun lalu dan sedang menunggu kelulusan bagi mendapatkan sijil cap dagang BO55KU.

Katanya, tindakan itu diambil kerana wujud pihak tidak bertanggungjawab meniru dan mencetak rompak cenderamatanya.

"Saya memang ambil serius tentang cap dagang BO55KU pada cenderamata kerana sebelum ini ramai yang ambil mudah dan remeh tentang produk saya.

"Saya tidak mahu orang ambil untung atas nama dengan menjual cenderamata tidak berkualiti," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cenderamata beliau tidak semahal pelumba-pelumba MotoGP lain dan lebih mementingkan soal kualitinya.

"Harga yang dijual berpatutan dan saya pentingkan kualiti. Saya mahu peminat beli sekali dan tidak perlu banyak kali," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak berkuasa mengambil berat isu cetak rompak cenderamata miliknya.

Hafizh dalam satu sidang media di litar Antarabangsa Sepang pada 31 Januari lalu berkata, ejaan BO55KU mempunyai maksud tersendiri buat dirinya.

Menurutnya, angka 55 cukup sinonim dengan beliau kerana tarikh lahir beliau ialah 5 Mei1994.

Jelasnya, perkataan #BO55KU pula bermula pada permulaan MotoGP musim 2018 apabila berlatih dengan pasukan perlumbaan basikal kebangsaan.

"Dalam sesi latihan tersebut mereka kerap menggunakan perkataan bossku, bossku, ibarat memanggil bro atau boss.

"Jadi saya menggantikan dua huruf S dalam bossku kepada 55 seterusnya #BO55KU dalam hantaran di media sosial," katanya.

Sementara itu jurucakap MyIPO ketika dihubungi berkata, permohonan Hafizh bagi cap dagang BO55KU masih dalam proses kelulusan.

"Ia masih dalam proses dan belum diluluskan. Berdasarkan rekod, Hafizh telah membuat permohonan pada 30 Ogos 2018.

"Selain itu permohonan dibuat di bawah Kelas 25 seperti pakaian, kasut, topi dan semua perkara di bawahnya," katanya.

Ditanya sekiranya permohonan yang dibuat oleh Hafizh bagi cap dagang tersebut diluluskan, adakah menjadi kesalahan jika perkataan bossku terus digunakan dalam pertuturan harian atau di media sosial.

Beliau berkata, ia tidak menjadi satu kesalahan selagi tidak menggunakan cap dagang itu bagi tujuan komersial seperti yang termaktub di bawah Kelas 25.

"Jika ada pihak gunakan cap dagang orang lain, pihak berkuasa boleh ambil tindakan di bawah Akta Cap Dagang," katanya.

INFO: Pakaian, kasut dan topi bagi kegunaan manusia dikalsifikasikan dalam Kelas 25 berdasarkan fungsinya (sebagai barang untuk menutup badan) tanpa mengira jenis material.