X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau kumbang baham lembu masuk perangkap

Harimau kumbang yang berjaya ditangkap.
A
A

KUALA PILAH - Seekor harimau kumbang yang dipercayai pernah membaham ternakan termasuk dua ekor lembu penduduk kampung di Kampung Tengah di sini berjaya ditangkap melalui perangkap besi yang dipasang sejak November lalu.

Penduduk, Mohd Azman Daud, 52, berkata, kejadian disedari jam 3 pagi tadi apabila terdengar bunyi ngauman kuat harimau dari arah perangkap tersebut yang dipasang berdekatan rumahnya.

"Sebaik sahaja dengar bunyi ngauman itu, saya terfikir mesti harimau sudah masuk perangkap.

Lokasi perangkap besi untuk menangkap harimau kumbang di Kampung Tengah di sini hari ini.
Lokasi perangkap besi untuk menangkap harimau kumbang di Kampung Tengah di sini hari ini.

"Memandangkan waktu itu jam 3 pagi, saya tidaklah berani hendak keluar. Apabila sudah pagi saya bersama penduduk kampung yang lain jengah di perangkap itu dan nampak memang ada harimau kumbang.

"Semasa saya mahu keluarkan anak kambing yang dijadikan umpan, saya ternampak ada seekor lagi harimau di luar, tidak jauh dari perangkap. Mungkin itu kawan dia," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Azman, dia yakin itu adalah pasangan haiwan berkenaan dan berpendapat satu lagi perangkap perlu dipasang bagi menangkap seekor lagi harimau kumbang yang masih bebas.

Mohd Azman
Mohd Azman

Sementara itu, penternak, Baharin Mohamad, 52, berkata, dia berasa lega harimau yang dipercayai membaham lembunya pada November lalu berjaya ditangkap.

Katanya, dengan penangkapan tersebut membuktikan bahawa dia tidak mengada-adakan cerita atau bercakap kosong berhubung kewujudan harimau berkenaan.

"Kita berharap perangkap besi ini perlu dipasang lagi memandangkan haiwan ini bukan seekor, masih ada lagi yang bebas di luar sana," katanya.

Anggota perhilitan mengangkat harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kampung Tengah, di sini hari ini.
Anggota perhilitan mengangkat harimau kumbang yang berjaya ditangkap di Kampung Tengah, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tengah Ulu Dun Seri Menanti, Hazmeon Mat Arbak berkata, umpan seekor anak kambing berusia enam bulan telah diletakkan bersebelahan perangkap besi tersebut selama 20 hari.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk terus memasang perangkap besi bagi menangkap seekor lagi harimau kumbang yang masih bebas.

Haiwan tersebut kemudian dibawa oleh anggota Perhilitan untuk tindakan susulan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!