Jalan Eaton bakal ditukar nama kepada Jalan Tun Hajah Rahah

Jalan Eaton dicadangkan ditukar nama kepada Jalan Tun Hajah Rahah sebagai penghormatan kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri kedua negara.
Jalan Eaton dicadangkan ditukar nama kepada Jalan Tun Hajah Rahah sebagai penghormatan kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri kedua negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal mempertimbangkan cadangan untuk menukar nama Jalan Eaton kepada Jalan Tun Hajah Rahah sebagai penghormatan kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri kedua negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, ini kerana proses penukaran nama jalan perlu melalui beberapa peringkat sebelum ia boleh diluluskan.

"Kita dah sampaikan cadangan tersebut kepada pihak berkaitan untuk dipertimbangkan dan kini sedang menunggu laporan terperinci.

"Dalam laporan itu nanti akan menjelaskan mengenai adakah nama lama mempunyai sebarang kaitan warisan dan juga sejarah negara," katanya pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan keadaan penduduk di Blok C, Flat Taman Segar, Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras, di sini pada Ahad.

Tambahnya, nama baharu yang dicadangkan nanti juga perlu mempunyai merit tertentu kerana dalam hal ini, Jalan Eaton tidak mempunyai fakta sejarah terlalu besar dan jalan ini juga difahamkan bertemu dengan Jalan Tun Razak.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Allahyarhamah Tun Rahah bukan sahaja banyak berjasa kepada negara, malah beliau membesarkan lima anaknya bersendirian sehingga salah seorangnya berjaya menjadi Perdana Menteri keenam negara.

"Allahyarhamah juga sudah tinggal di Jalan Eaton sejak berpuluh tahun dan saya fikir jawatankuasa berkaitan boleh mempertimbangkan untuk menukar nama jalan itu,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Tun Rahah dilaporkan meninggal dunia pada petang Jumaat di Hospital Prince Court, sebelum jenazahnya dikebumikan dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Sabtu.

Allahyarhamah dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.