Wanita diserang bunyikan hon kereta

Kecederaan pada mulut mangsa dalam kejadian di sebuah tempat letak kereta kondominium di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Kecederaan pada mulut mangsa dalam kejadian di sebuah tempat letak kereta kondominium di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki naik angin dan menyerang seorang wanita akibat tidak berpuas hati dengan tindakan wanita tersebut membunyikan hon kereta di tempat letak kereta sebuah kondominium di Taman Desa Petaling di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, kes terbabit dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

"Suspek ditahan pada hari yang sama dan dituduh di mahkamah semalam (Khamis) di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku salah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM2,000.

Terdahulu, kejadian berkenaan turut dikongsikan melalui Facebook Snow Kwong.

Melalui perkongsian tersebut, mangsa yang juga wanita berusia 27 tahun itu tiba di pekarangan letak kereta rumahnya dan membunyikan hon kepada lelaki berusia 58 tahun yang memandu kereta jenis Mercedes-Benz kerana dikatakan menghalang laluan di pintu masuk tempat letak kereta.

Bagaimanapun, ketika mangsa bergerak ke lobi kondominium selepas meletakkan kenderaannya, dia didatangi lelaki tersebut yang kemudian menyerangnya.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu bertanya sama ada mangsa yang membunyikan hon kereta. Tanpa sebarang amaran, lelaki itu menarik rambut mangsa sebelum menumbuk kepala dan mukanya.

"Mangsa yang ketakutan menyelamatkan diri dengan menyorok di bahagian belakang sebuah kereta sebelum menghubungi bapanya untuk mendapatkan bantuan, " menurut perkongsian itu.

Serangan itu juga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan pada bahagian mulut dan gusi selain mengalami kesakitan di kepala.

Mangsa menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian sebelum suspek yang tinggal di kondominium sama kemudiannya ditahan.