Jurukamera RTM bersyukur pembunuh dikenakan hukuman setimpal

Mohamad Amirul yang cedera parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang selepas ditembak oleh tertuduh pada insiden 1 Disember 2016.
Mohamad Amirul yang cedera parah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang selepas ditembak oleh tertuduh pada insiden 1 Disember 2016.
A
A
A

GEORGETOWN - Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir melahirkan rasa syukur atas hukuman setimpal dikenakan terhadap seorang pengawal peribadi yang cuba membunuhnya empat tahun lalu.

Mohamad Amirul ketika dihubungi Sinar Harian berkata, akhirnya keadilan telah terbukti walaupun kejadian menimpanya memberi kesan yang sangat mendalam dalam kehidupannya termasuk mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).

"Alhamdulillah syukur. Setiap perbuatan pasti akan ada balasan, namun hanya masa menentukannya sama ada cepat atau lambat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengawal peribadi bunuh majikan dihukum gantung sampai mati

"Akhirnya keadilan telah terbukti dan tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati hari ini oleh mahkamah," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pengawal peribadi selepas didapati bersalah membunuh majikannya dan dua lagi individu dalam insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Ja'afar Halid, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dia disabit membunuh majikannya, yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, dan dua individu lain, Choi Hoi Ming, 32, dan Senthil Murugiah, 38, dengan menembak menggunakan sepucuk senjata api di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang di lebuh raya berkenaan antara jam 7.15 malam dan 7.30 malam pada 1 Disember 2016.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi lima pertuduhan (setiap pertuduhan 15 tahun penjara) atas cubaan membunuh dengan menembak lima individu iaitu Lee Hong Boon, 59, di dada kiri; Nurul Huda Ab Aziz, 42, di bahu; Puah Bee Joo, 36, di bahu; Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 32, di dada kiri dan K Arivarni, 37, di kepala.

Hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap 1 Disember 2016.

Sementara itu, Mohamad Amirul berkata, keadaan kesihatannya kini semakin baik walaupun baharu sahaja dibenarkan keluar daripada Hospital Pulau Pinang akibat masalah jantung.

Katanya, kejadian yang berlaku empat tahun lalu akan tetap segar dalam ingatan dan memberi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas.