AS label Saraya al-Mukhtar sebagai kumpulan pengganas

Bahrain merupakan tempat operasi Kumpulan Saraya al-Mukhtar yang mendapat sokongan kewangan dari Iran. - FOTO: AFP
Bahrain merupakan tempat operasi Kumpulan Saraya al-Mukhtar yang mendapat sokongan kewangan dari Iran. - FOTO: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam meletakkan sebuah kumpulan bersenjata yang berpangkalan di Bahrain dalam senarai pengganas global dan menuduhnya merancang serangan ke atas tentera AS di negara beraja itu.

Setiausaha Negara, Mike Pompeo berkata dalam satu kenyataan bahawa kumpulan itu, Saraya al-Mukhtar menimbulkan satu risiko signifikan untuk melakukan tindakan keganasan dan mengancam keselamatan kebangsaan serta dasar asing AS.

"Saraya al-Mukhtar merupakan sebuah pertubuhan pengganas yang disokong oleh Iran dan berpangkalan di Bahrain telah dilaporkan menerima sokongan logistik serta kewangan daripada Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran," ujar Pompeo.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran sebelum ini berada dalam senarai Penganas Global sejak tahun 2019.

"Saraya al-Mukhtar menggambarkan sasarannya ialah untuk menghapuskan kerajaan Bahrain dengan hasrat untuk membuka jalan untuk Iran melebarkan pengaruhnya di Bahrain," kata Pompeo.

"Kumpulan itu telah merancang serangan-serangan ke atas kakitangan AS di Bahrain dan menawarkan ganjaran wang tunai bagi pembunuhan pegawai-pegawai Bahrain," ujarnya.

Aset-aset Saraya al-Mukhtar di AS dibekukan dan ia tidak dibenarkan mengakses sistem kewangan negara tersebut.

Rakyat AS turut tidak dibenarkan berurusan dengan kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan itu juga terkenal kerana membuat ancaman ke atas keluarga diraja Bahrain dan mengutuk layanan yang diberikan kepada golongan minoriti Syiah di negara jirannya, Arab Saudi.

Ia dituduh menggodam akaun Twitter Menteri Luar Bahrain pada tahun 2017 iaitu anggota pentadbiran dinasti Muslim Sunni tetapi memerintah negara yang dihuni majoriti penduduk Syiah. - AFP