Wanita rugi RM8,000 beli emas dalam Facebook

Suspek dipercayai menyamar sebagai pekerja sebuah kedai emas dengan mempromosikan tawaran penjualan barang kemas melalui Facebook. - Foto 123RF
Suspek dipercayai menyamar sebagai pekerja sebuah kedai emas dengan mempromosikan tawaran penjualan barang kemas melalui Facebook. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita dari Kuala Rompin kerugian lebih RM8,000 setelah terpedaya dalam urusan pembelian barang kemas menerusi laman sosial Facebook pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian itu berlaku selepas mangsa melayari live Facebook jual emas atas nama sebuah kedai emas pada 10 Disember lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai menyamar sebagai pekerja sebuah kedai emas dengan mempromosikan tawaran penjualan barang kemas melalui Facebook sehingga mendorong mangsa menempah dan membuat bayaran.

"Mangsa telah berurusan dengan pekerja kedai bernama Farah untuk pembelian gelang tangan seberat 21 gram yang ditawarkan pada harga RM4,600.

"Mangsa telah membuat bayaran penuh pada hari yang sama melalui sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas bayaran dibuat, suspek menghubungi mangsa meminta membuat bayaran tambahan RM2,000 kerana berat sebenar barang kemas dipesan 31 gram.

"Mangsa bersetuju dan membuat bayaran tambahan itu melalui tiga transaksi bayaran ke dua akaun bank atas nama individu berbeza," katanya.

Mohd Wazir berkata, urusan tersebut tidak selesai di situ sebaliknya suspek meminta mangsa membuat bayaran RM1,500 lagi atas alasan berat sebenar barang kemas yang dibeli lebih 38 gram.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa akur apabila membuat bayaran secara berperingkat melalui tiga akaun bank juga atas nama individu berbeza dengan bayaran terakhir dibuat semalam membabitkan jumlah keseluruhan RM8,100.

"Bagaimanapun mangsa sedar ditipu apabila membuat semakan dengan kedai emas terbabit sebelum diberitahu semua akaun bank yang digunakan dan wanita bernama Farah itu tiada kaitan dengan kedai berkenaan," katanya.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.