Contohi negara luar iktiraf orang muda

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Kisah kejayaan Jocelyn Yow dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, California, Amerika Syarikat seharusnya membuka mata semua pihak.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ada banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Jocelyn, warganegara Amerika Syarikat yang berdarah Malaysia kerana bapanya berasal dari Alor Setar, Kedah dan ibunya dari Vietnam.

“Negara luar mengiktiraf orang muda, sedangkan Malaysia mengiktiraf orang tua. Beliau baru berumur 25 tahun, tetapi sudah diberi tanggungjawab besar sebagai Datuk Bandar.

“Sedangkan di Malaysia, tugas pemimpin itu masih banyak diserahkan kepada mereka yang berusia atau berumur.

“Alasannya lagi berusia, lagi banyak pengalaman sehingga ruang untuk orang muda bersuara, menjadi pemimpin komuniti, wakil kepada rakyat terbatas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, negara luar melihat kepada merit, sebaliknya Malaysia melihat kepada kroni.

“Di luar sana, ruang dan peluang tersedia kepada mereka yang berusaha keras dan ikhlas menjalankan tanggungjawab kepada komuniti dan jika seorang itu rajin, pasti ada ruang untuk diisi.

“Tetapi di Malaysia, lain ceritanya. Jika anda tidak ada hubungan politik, hubungan dengan kroni atau sendiri menjadi ahli politik, ruang untuk anda memimpin itu sangat sukar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jocelyn Yow mencipta sejarah apabila menjadi wanita bukan kulit putih paling muda dilantik sebagai Datuk Bandar di California, Amerika Syarikat.
Jocelyn Yow mencipta sejarah apabila menjadi wanita bukan kulit putih paling muda dilantik sebagai Datuk Bandar di California, Amerika Syarikat.

Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, mungkin ada benarnya hakikat apabila ramai yang bercakap, Malaysia hanya menghargainya rakyatnya (atau yang ada hubungan dengan Malaysia) apabila mereka sudah berjaya di luar negara.

“Saya sentiasa gembira melihat orang Malaysia yang berjaya di dalam dan luar negara. Betul, Jocelyn ini warganegara Amerika, tetapi saya percaya kejayaan beliau itu memberi inspirasi kepada ramai orang muda dan wanita Malaysia.

“Kalau negara luar boleh, Malaysia mesti boleh. Yang kena ada, hanyalah iltizam politik dan kesungguhan untuk bina negara ini bersama,” katanya.

Semalam, Jocelyn mencipta sejarah apabila menjadi wanita bukan kulit putih paling muda dilantik sebagai Datuk Bandar di California.

Beliau dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, sebuah bandar di wilayah Riverside, California selepas berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandar Eastvale pada tahun 2018 dan menyandang jawatan Datuk Bandar sementara sejak tahun lalu.