Bersatu Perak serah pusat tentukan keahlian ADUN Titi Serong

Zainol Fadzi Paharudin
Zainol Fadzi Paharudin
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menyerahkan kepada pimpinan di peringkat pusat mengenai kedudukan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Bersatu negeri sudah menerima laporan mengenai kenyataan Hasnul Zulkarnain daripada Bersatu Bahagian Parit Buntar semalam.

Menurutnya, laporan tersebut akan dibincangkan di peringkat Bersatu negeri sebelum dihantar ke pusat.

"Saya rasa itu benda 'basic'. Kalau kita membelakangi keputusan parti biasanya bermaksud keluar parti. Tapi di peringkat negeri kita tak boleh buat pengumuman. Kita hanya boleh buat laporan.

"Tindakan seterusnya kita serah kepada pusat tetapi dari segi prosedur parti kita kena ikut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbuka Hasnul Zulkarnain dalam sebuah portal berita pada Ahad.

Mengenai dakwaan Hasnul Zulkarnain tidak mendapat tempat dalam parti, beliau berkata, luahan itu bersifat peribadi.

Menurutnya, usaha untuk melibatkan bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional itu di dalam parti telah diusahakan.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat negeri, saya secara peribadi ada usaha untuk melibatkan beliau di Bahagian Parit Buntar kerana sudah menjadi wakil rakyat di kawasan itu... tapi fahamlah dalam politik ini ketua bahagian ada pasukan sendiri dan saya pernah mengesyorkan kepada ketua bahagian untuk melantik beliau sebagai jawatankuasa bahagian.

"Tindakan akhir saya, memberi peluang kepada beliau secara rasmi dalam mesyuarat kepimpinan Bersatu negeri kita melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Program untuk jentera pilihanraya Bersatu Perak tetapi mungkin tak sempat sebab selepas itu berlaku peralihan kuasa sehingga hari ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Bersatu akui tandatangan awal SD sokong Saarani

Semalam, Hasnul Zulkarnain meluahkan kepada media bahawa beliau tidak diberikan peluang dalam gerak kerja parti itu sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri.