X

Kindly register in order to view this article
!

Mohamad Sabu tunggu perkembangan 113 akuan bersumpah

Mohammad (tengah) bergambar kenangan bersama perwakilan sempena Konvensyen Parti Amanah Negara Negeri Sembilan di Dewan Cattleya hari ini.
A
A

SEREMBAN - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menunggu perkembangan mengenai 113 akuan bersumpah (SD) yang dikhabarkan sudah dimiliki oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau belum mendapat sebarang berita dan masih menunggu perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut.

"Saya juga menunggu, sama seperti orang lain menunggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan Konvensyen Parti Amanah Negeri Sembilan di Dewan Cattleya dekat sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, kerajaan sedia ada sekarang ini adalah tidak stabil dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Jadi, dalam usaha untuk kita buat percaturan politik semula, kita perlu sediakan jentera pilihan raya yang lebih mantap untuk digerakkan di semua bahagian," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu, turut memberitahu, Amanah belum lagi berbincang mengenai pembahagian kerusi sama ada di peringkat nasional mahupun peringkat negeri.

Semalam, media melaporkan, terdapat khabar angin bertiup kencang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan meyakinkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Sumber dalaman PKR memberitahu bahawa beliau sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD, lapor Astro Awani.

Dengan jumlah tersebut, ia sekali gus memberi peluang kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber itu lagi, Anwar sedang dalam perancangan memohon perkenan menghadap Agong di Istana Negara dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dikhabarkan akan menghadap Agong, kemuka bukti 113 sokongan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!