Tiada laporan rasuah di sempadan

Shaharom Nizam menyampaikan cenderahati kepada pemandu kenderaan berat sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 di ICQS hari ini.
Shaharom Nizam menyampaikan cenderahati kepada pemandu kenderaan berat sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 di ICQS hari ini.
A
A
A

JITRA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah tidak menerima sebarang laporan rasuah melibatkan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand setakat ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, walau bagaimanapun ia tidak menjadi alasan untuk pihaknya bertindak sambil lewa sebaliknya akan terus menjalankan tugas dan memerhati semua pihak bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan rasuah.

Menurutnya, setakat ini SPRM hanya mendengar 'cakap-cakap' biasa tentang salah laku rasuah, namun tidak menerima maklumat dan laporan secara rasmi daripada mana-mana pihak.

"Kalau setakat orang bercakap biasa itu ada, tetapi laporan dan maklumat sebenar tiada lagi. Jadi, kita minta kerjasama orang awam untuk melaporkan kepada SPRM sekiranya ada maklumat berkaitan kes rasuah atau salah guna kuasa di kawasan sempadan," katanya ketika sidang akhbar di Darulaman Golf And Country Club di sini hari ini.

Shaharom Nizam berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dan takut untuk melaporkan kesalahan rasuah yang berlaku kerana SPRM masih menjaga kerahsiaan pemberi maklumat.

"Cuma kita harap mereka yang menyampai maklumat kepada SPRM tidak menghebohkan kepada orang lain tentang laporan yang dibuat, sebaiknya lapor dan diam sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 73 individu telah ditahan oleh SPRM Kedah melibatkan pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh 1 Januari sehingga November lepas.

"Jumlah itu melibatkan 30 penjawat awam, 25 kakitangan swasta dan 18 orang awam yang ditahan di negeri ini atas kesalahan berkaitan rasuah serta tuntutan palsu.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 44 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan dan jumlah aset yang dibekukan dianggarkan bernilai RM1.6 juta," katanya.

Katanya, dalam tempoh itu SPRM Kedah juga menerima 339 maklumat berkaitan kes rasuah di mana 163 maklumat telah dibuka kertas siasatan, manakala 176 lagi adalah tindakan bukan siasatan.

Terdahulu, beliau menyampaikan cenderahati kepada pemandu di laluan kenderaan berat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 yang diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya memerangi rasuah.