Mat Sabu dedah terima mesej kecewa ahli Pas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendedahkan beliau dan pemimpin parti berkenaan menerima banyak mesej dari rakan-rakan Pas yang meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan mengejut parti itu menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

Menurut Mohamad, rata-rata mereka menyifatkan, keputusan ibarat membuat pusingan U itu tidak boleh diterima dalam keadaan seluruh ahli telah diyakinkan dengan penafian demi penafian oleh pemimpin tertinggi parti itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang seperti yang didakwa.

Menurutnya, keputusan Pas merupakan detik penting kepada kepincangan berterusan yang berlaku dalam parti itu sejak 10 tahun lalu.

"Ia juga sekali gus mengesahkan wujud jalinan hubungan gelap parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tarik balik saman: Hadi kunci mulut sampai 11 Februari?

Hadi dicabar dedah perjanjian dengan Sarawak Report

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah dan Clare turut menarik balik tuntutan balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian tersebut.

Clare juga menjelaskan tidak menurunkan artikel berkenaan walaupun kes diselesaikan di luar mahkamah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dalam perkembangan terbaharu itu, beliau mengalu-alukan ahli dan pimpinan Pas untuk menyertai Amanah.

"Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kembali berganding bahu di dalam satu wadah untuk membangunkan Malaysia.

"Perubahan yang dihasratkan berpuluh puluh tahun di dalam Pas tertangguh sekian lama diakibatkan tindakan beberapa kerat pimpinan yang melakukan hubungan gelap dengan parti lawan," katanya.

Beliau berkata, Pas adalah sebuah parti yang hidup dengan budaya syura termasuk ketika memutuskan untuk menjalinkan hubungan dengan Parti Melayu Semangat 46, DAP dan PKR.

"Namun sangat aneh, dalam hal menjalin hubungan dengan Umno, ia hanya ditentukan oleh beberapa kerat pemimpin sahaja.

"Saya juga meminta kepada semua ahli dan jentera di pelbagai peringkat untuk membuat persediaan bagi mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baharu. Amanah sangat terbuka untuk menerima ahli dari mana-mana parti termasuk Pas. Walaupun pernah berselisih faham sebelum ini, tiada dendam daripada ahli-ahli Amanah kepada ahli-ahli Pas yang ingin berhijrah," katanya.