Polis Pahang kekalkan SJR harian

Wakil yayasan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan
Wakil yayasan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan
A
A
A

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang mengekalkan Sekatan Jalan Raya (SJR) sedia ada di semua daerah negeri ini bagi tujuan Ops Benteng dan Ops Cegah Jenayah.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya turut menempatkan 119 pasukan pemantau berpakaian uniform dan biasa di tempat-tempat pelancongan bagi memperkasakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah membenarkan rentas negeri tanpa permit polis, namun SJR harian masih dikekalkan di negeri ini dengan melibatkan 15 ke 18 SJR sehari bagi tujuan pencegahan jenayah dan cegah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan jumlah keanggotaan antara 152 hingga 160 orang.

"Tujuan kita teruskan sekatan ini bagi membolehkan pihak polis memberi maklumat terus kepada orang ramai mengenai kes Covid-19 di Pahang termasuk lokasi yang mencatat peningkatan kes.

"Pasukan pemantauan akan perkenalkan diri mereka dan orang ramai juga berhak bertanya kad penguasa," katanya.

Majlis penyerahan replika cek sumbangan yayasan kepada guru besar SKJ (China) Pei Chai Kuantan, Lim Loke Fong (lima dari kanan).
Majlis penyerahan replika cek sumbangan yayasan kepada guru besar SKJ (China) Pei Chai Kuantan, Lim Loke Fong (lima dari kanan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Penyerahan Replika Cek Bantuan RM20,000 dan alat bantuan mengajar Smartboard kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (China) Pei Chai Kuantan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Aziz Salleh yang juga Naib Pengerusi 1 Yayasan itu; Naib Pengerusi Kanan Yayasan, Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Chong Chin Fung

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata sejumlah 17 premis dikompaun kerana tidak mematuhi SOP seperti penyukat suhu dan manual buku atau MySejahtera atau goPahang.

PDRM Pahang menggerakkan 119 pasukan pemantau dengan 1,913 pemantauan di seluruh Pahang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai yang ingin melaksanakan percutian akhir tahun untuk mematuhi SOP.

"Jika datang ke tempat dikenalpasti berlaku penularan Covid-19 tolong elakkan dan pastikan tidak membawa orang tua atau bayi. Tolong fikirkan pandangan pihak keselamatan agar menangguhkan percutian ke lokasi pandemik," katanya.