Warga kulit hitam pegang jawatan Setiausaha Pertahanan AS

Bekas jeneral tentera Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin dipilih memegang jawatan Setiausaha Pertahanan negara itu oleh bakal Presiden AS, Joe Biden semalam. - Foto AFP
Bekas jeneral tentera Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin dipilih memegang jawatan Setiausaha Pertahanan negara itu oleh bakal Presiden AS, Joe Biden semalam. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Lloyd Austin yang pernah mengetuai tentera Amerika Syarikat (AS) di Baghdad, Iraq pada tahun 2003 telah dipilih oleh bakal Presiden AS, Joe Biden sebagai rakyat kulit hitam pertama negara itu memegang jawatan sebagai Setiausaha Pertahanan, lapor media semalam.

Pemilihan Austin yang juga pernah menjadi Ketua Pusat Pemerintah AS merupakan bekas jeneral empat bintang dan berumur 67 tahun menyebabkan calon utama untuk jawatan itu iaitu bekas Penolong Setiausaha Pertahanan, Michele Flournoy diketepikan.

Beliau dipilih ekoran Biden mahu lebih ramai warga komuniti menduduki jawatan dalam pentadbirannya, namun pemilihannya itu perlu mendapat pengesahan daripada Dewan Senat.

Menurut CNN, Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Dewan Perwakilan AS, Adam Smith sebelum ini menyokong pemilihan Flournoy untuk jawatan tersebut.

Smith berkata, beliau telah memberitahu Biden bahawa individu yang paling layak untuk memegang jawatan itu ialah Flournoy, lapor portal berita itu.

Menurut portal Defense News, Austin menjadi Ketua Pusat Pemerintah AS dari tahun 2013 hingga 2016.

Ketika itu, kumpulan Negara Islam (IS) sedang berkembang.

Selepas bersara daripada perkhidmatan ketenteraan, Austin menjadi ahli lembaga korporat syarikat Raytheon Technologies iaitu salah sebuah firma pertahanan terbesar di dunia termasuk juga syarikat besi Nucor dan Tenet Healthcare. - Agensi

Artikel Berkaitan: