Mohd Sukari dilantik Ketua Pengarah Penerangan baharu

Mohd Sukari Ab Hamid
Mohd Sukari Ab Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerangan yang baharu berkuat kuasa semalam iaitu 7 Disember 2020.

Jabatan Penerangan Malaysia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Roselindawati Abdul Rahman yang bersara wajib pada 17 November lalu.

Mohd Sukari, 59, yang merupakan anak kelahiran Kedah telah memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penerangan di Ibu Pejabat, Jabatan Penerangan Malaysia pada tahun 1987 sebelum ditempatkan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos Malaysia pada 1989.

Menurut kenyataan, kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan komunikasi strategik, perhubungan awam dan pengurusan pentadbiran melayakkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada September 2012.

Beliau juga telah diberikan kepercayaan untuk menerajui Jabatan Penerangan Negeri Kedah sebagai Pengarah Penerangan Negeri pada tahun 2003 dan Pengarah Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia pada tahun 2009.

Mohd Sukari yang merupakan pemegang Sarjana Muda dalam bidang Sastera di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1985 turut menyertai beberapa siri kursus profesional jangka pendek dalam bidang komunikasi di Singapura pada 1992, bidang pengurusan kewangan serta belanjawan di Pitsburgh University, Pennsylvania pada tahun 1995 dan di dalam bidang pengurusan dan kepimpinan strategik di dalam dan luar negara.

Selain kecemerlangan dalam kerjaya, beliau turut melibatkan diri dalam beberapa persatuan profesional antaranya Ahli Lembaga Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dan Ahli Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Artikel Berkaitan: