i-Sinar: Harapan rakyat dikhianati

Nor Hasrul Akhmal
Nor Hasrul Akhmal
A
A
A

KOTA TINGGI- Kerajaan perlu menyedari bahawa ramai pekerja yang kecewa apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan syarat baharu pengeluaran i-Sinar semalam.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Tenggara, Ir Ts Dr Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, sebahagian besar rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menaruh harapan tinggi agar dapat mengeluarkan simpanan mereka daripada akaun satu seperti dijanjikan kerajaan ketika usul meluluskan Belanjawan 2021, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan yang mendakwa kononnya prihatin rakyat sepatutnya mendengar keluh kesah mereka dengan menunaikan janji untuk pengeluaran i-Sinar tanpa syarat.

"Pengumuman pengeluaran i-Sinar yang bagi kategori 2 semalam benar-benar mengejutkan dan memusnahkan harapan sebahagian rakyat yang ingin membuat pengeluaran bagi menampung beban selepas pendapatan mereka terjejas.

"Syarat potongan gaji 30 peratus dan ke atas untuk layak mengeluarkan simpanan daripada akaun satu sebenarnya menafikan hak ramai pekerja.

"Biarpun ada pekerja yang dikenakan potongan gaji bawah 30 peratus sahaja, sebenarnya kehidupan mereka turut terjejas teruk lantaran wabak Covid-19 ini," katanya.

Semalam, KWSP mengumumkan dua kategori membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon skim i-Sinar.

Menurut kenyataan itu, pemohon kategori berkenaan boleh mula membuat permohonan secara dalam talian pada 21 Disember ini dengan pembayaran kepada ahli yang layak akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Ujar Nor Hasrul, Pemuda UMNO Tenggara peka dengan denyut nadi rakyat dan mendapat banyak luahan kekecewaan dengan syarat baharu pengeluaran i-Sinar itu.

Beliau juga menggesa kerajaan dan KWSP mengkaji semula perkara itu serta membenarkan semua pekerja yang terjejas mengeluarkan simpanan mereka atau kerajaan bersedia berdepan dengan 'hukuman' rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kerajaan Perikatan Nasional perlu sedar survival mereka selama ini bertahan kerana kepercayaan tinggi rakyat terhadap pentadbiran mereka.

"Jadi bila kerajaan PN tak tunai janji dalam isu i-Sinar ini, rakyat jadi marah dan tidak mustahil rakyat akan menghukum kerajaan pada PRU15 nanti.

"Jangan mudah memperkotak-katikkan rakyat terutamanya apabila mereka dalam situasi susah, tertekan dan kecewa," katanya.