Pemandu lori tampar juruwang diberkas

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan suspek menampar mangsa sehingga tular di media sosial.
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan suspek menampar mangsa sehingga tular di media sosial.
A
A
A

KLANG - Seorang pemandu lori ais ditahan kerana disyaki menampar seorang juruwang di sebuah pasar raya di Klang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada jam 8.30 malam semalam.

"Suspek kemudian telah diberi jamin polis pada hari yang sama dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Nurulhuda berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 kanun keseksaan," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam, mangsa membuat laporan berhubung kejadian ditampar oleh seorang lelaki di pasar raya berkenaan.

"Kejadian itu berlaku disebabkan salah faham ketika isteri suspek membuat pembayaran di kaunter," katanya.

Katanya, mangsa telah memasukkan barang ke dalam plastik dalam keadaan tergesa-gesa kerana premis akan ditutup pada masa itu.

Artikel Berkaitan:

"Isterinya telah menceritakan kejadian itu kepada suspek selepas keluar dari pasar raya berkenaan, suspek kemudian dalam keadaan marah telah menampar mangsa," katanya.