Kanak-kanak, remaja wanita maut bas rempuh kereta

Bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. - Foto Ihsan Bomba
Bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Dua beradik maut dalam kemalangan di Kilometer 265.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bandar Ainsdale, hari ini.

Kedua-duanya maut ketika dalam perjalanan ke Port Dickson utntuk bercuti sebelum kereta dipandu Nurulhuda Ramli, 36, dari Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur terbabas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, di dalam kenderaan itu juga terdapat empat anak pemandu, Nor Iman Danish Abdul Azim, 5; Mohd Amirul Danish, 9; Muhamad Hakimi, 12; dan Dewi Aleesya Aulia, 7 bulan.

“Turut berada dalam kereta jenis Proton Persona itu ialah dua kenalan, Wan Nur Syazliza Wan Nasharuddin, 19, dan Puteri Rufaidah Zahlan, 17, masing-masing dari Puchong, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Port Dickson untuk bercuti sebelum kereta dipandu Nurulhuda hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan lalu melintang di tengah jalan,” katanya.

Menurutnya, sejurus kejadian datang sebuah bas dari arah belakang tidak sempat berhenti lalu melanggar kereta tersebut menyebabkan penumpang hadapan, Wan Nur Syazliza yang dipercayai memangku Nor Iman Danish tercampak keluar kenderaan.

“Kedua-dua mangsa yang tercampak maut di lokasi manakala lima lagi individu lain dalam kereta itu parah. Sementara itu, pemandu bas, Poon Fook Lai berusia 56 tahun bersama 28 penumpang tidak cedera.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: