Polis terima dua laporan skim pelaburan LikeShare

Saiful Azly
Saiful Azly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menerima dua laporan berhubung skim pelaburan LikeShare yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat membuat laporan mendakwa mengalami kerugian RM9,888.

Katanya, polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif mendakwa mengalami kerugian RM10,000.

"Polis sudah mengenal pasti individu warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan tersebut susulan hasil risikan yang dilakukan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Saiful Azly berkata, polis sudah menyerbu sebuah pejabat di ibu negara yang disyaki markas operasi skim pelaburan berkenaan dan mendapati pejabat itu sudah ditutup sejak 9 November lalu.

Dalam kes berasingan, Saiful Azly memaklumkan, pihaknya telah menahan 38 individu disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian ketika serbuan di tiga premis di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Saiful Azly berkata, serbuan pertama dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Kia Peng di sini.

"Kita berjaya menahan seramai sembilan individu yang terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita dan empat lelaki warga Taiwan berusia 20 hingga 40 tahun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes pelaburan LikeShare: Polis terima satu lagi laporan

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 21 unit telefon bimbit, enam unit komputer riba dan wang tunai RM2,633 dalam serbuan itu.

"Dalam serbuan kedua pula, kita menahan 29 individu berusia 15 hingga 40 tahun di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang," katanya.

Saiful Azly berkata, kesemua individu kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Individu dalam serbuan kedua pula direman empat hari sehingga 2 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.