Jawatan TPM: UMNO tidak perlu beri penjelasan panjang lebar

Kenyataan yang dimuat naik Shahril Sufian Hamdan di Facebook hari ini.
Kenyataan yang dimuat naik Shahril Sufian Hamdan di Facebook hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO tidak perlu memberikan penjelasan panjang lebar berkenaan persoalan mengenai hak parti tersebut untuk mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang sukar untuk dijelaskan dan beliau berharap ia akan dipermudahkan.

“Adakah UMNO berhak dapat jawatan TPM dan bincang isu tersebut pada ketika yang sesuai? Ya.

"Kenapa? Tengok komposisi Parlimen. Adakah UMNO ‘desperate’ (terdesak) hingga hendak mendesak-desak merayu-rayu jawatan TPM? Tidak," katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu berkaitan pemberian jawatan TPM kepada UMNO yang dibangkitkan beberapa ahli politik baru-baru ini.

Berkenaan dengan tindakan yang akan diambil oleh UMNO sekiranya tawaran tersebut diberikan, Shahril berkata, beliau tidak menolak kemungkinan UMNO akan menerima pemberian tersebut.

“Kalau ditawarkan, adakah UMNO akan ambil? Ya. Kenapa tidak?

“Mudah dan moga dipermudahkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui jawatan TPM tersebut pernah dibincangkan, namun beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

Katanya, UMNO tidak memberi tekanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebarang pelantikan jawatan di dalam Kabinet termasuk TPM.

Pada masa sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam laporan yang berasingan berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu berlapang dada dengan pelantikan jawatan TPM.

Menurutnya, jawatan tersebut sewajarnya menjadi milik UMNO memandangkan parti tersebut merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan pada ketika ini.