X

Kindly register in order to view this article
!

Joe Biden dan isu Palestin

Tindakan Joe Biden untuk melantik Reema Dodin yang berturunan Palestin Amerika sebagai salah seorang daripada dua orang timbalan pengarah pasukan perundangan presiden telah mendapat tentangan daripada kumpulan yang pro-Israel.
A
A

TINDAKAN Joe Biden untuk melantik Reema Dodin yang berturunan Palestin Amerika sebagai salah seorang daripada dua orang timbalan pengarah pasukan perundangan presiden telah mendapat tentangan daripada kumpulan yang pro-Israel.

Perlantikan Reema Dodin merupakan sebahagian daripada janji yang telah dibuat oleh Biden melalui Plan for Partnership kepada masyarakat Arab Amerika. Reema Dodin dilahirkan oleh migran Palestin telah berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).

Mereka berasal dari Dura di Palestin, berhampiran kota Hebron yang diduduki Israel. Selain Reema Dodin, Biden juga telah melantik Shuwanza Goff seorang berketurunan AfrikaAmerika.

Ini adalah sebahagian usaha Biden untuk memansuhkan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump yang disifatkan sebagai rasis serta mengiktiraf hak masyarakat minoriti seperti penduduk Arab Amerika.

Kumpulan pro-Israel serta akhbar Jerusalem Post cuba memperlekehkan pelantikan Reema Dodin dengan mengaitkan kononnya beliau menyokong tindakan pengeboman berani mati. Sedangkan Reema Dodin mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dan telah diakui oleh Senator Connecticut, Richard Blumenthal. Dodin juga pernah memegang beberapa jawatan penting misalnya sebagai pengarah pusat penyelidikan Durbin.

Bagaimanapun, masyarakat Islam pada amnya serta penduduk Palestin khasnya tidak harus terlalu teruja dengan pelantikan Reema Dodin kerana ini tidak membawa apa-apa erti jika bumi Palestin masih terus diduduki oleh Israel.

Perlu ditegaskan Biden tidak boleh dianggap sebagai penyelamat bagi penduduk Palestin. Walaupun penduduk Muslim AS telah memilih untuk mengundi Biden berbanding Trump namun ini tidak bererti beliau akan mengubah dasar AS yang menyokong Israel.

Tidak dinafikan Presiden Dilantik Biden lebih popular daripada Trump. Ini kerana sepanjang empat tahun pentabiran Trump, beliau telah mengambil beberapa tindakan yang disifatkan sebagai tidak mesra Islam misalnya larangan kemasukan ke AS bagi penduduk Islam dari sesetengah negara, keengganan Trump untuk mengutuk tindakan Israel membina penempatan haram di tanah milik penduduk Palestin yang bertentangan dengan Undang-undang Antarabangsa dan menarik balik dana kepada agensi pelarian PBB, yang digunakan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin bagi tujuan pendidikan, makanan dan mata pencarian.

Selain itu, Trump telah mendapat tentangan hebat daripada masyarakat Islam apabila AS telah memindahkan kedutaannya daripada Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Pada masa sama, pentabiran Trump telah menyokong usaha tiga negara Arab untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel sehingga Palestin menjadi semakin terasing.

Pentabiran Trump telah menolak rancangan damai Two-State Solution sebaliknya melalui menantunya, Jared Kushner telah merangka rancangan damai baru dikenali Middle East Plan. Namun rancangan telah ditentang oleh Palestin kerana dianggap tidak adil dan memihak Israel.

Persoalannya, adakah Presiden Dilantik Biden akan memansuhkan atau meneruskan dasar-dasar Trump yang berat sebelah?

Untuk menjawab persoalan ini terlebih dahulu perlu diperhatikan sifat dan pendirian Biden dalam isu konflik Arab-Israel.

Sejak muda lagi Biden sudah mempunyai persahabatan yang rapat dengan Israel misalnya sewaktu beliau baru sahaja dipilih menjadi Senator Delaware pada tahun 1973, lawatan rasmi ke luar negara yang pertama adalah ke Israel untuk melawat Perdana Menteri Israel ketika itu, Golda Meir.

Selain itu, Biden telah dilaporkan mengakui dirinya sebagai penyokong Zionis walaupun bukan berketurunan Yahudi. Beliau juga sering dengan lantang mempertahankan dasar luar AS yang menyokong Israel dan berpendapat AS tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa atas dasar pro-Israel.

Biden telah mengatakan bahawa beliau akan meneruskan dasar Trump supaya kedutaan AS ditempatkan di Baitulmaqdis dan tiada hasrat untuk memindahkan semula ke Tel Aviv.

Jelas perubahan pucuk pimpinan daripada Trump ke Biden dijangkakan tidak akan membawa perubahan strategik dalam dasar luar AS berkaitan isu Palestin. Selain itu, pentabiran Biden dijangkakan akan kurang tunduk kepada permintaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berbanding Trump.

Namun realitinya adalah sokongan AS yang tak berbelah bagi kepada Israel akan berterusan dengan Trump atau tanpa Trump.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!