PAT Bersatu: Ronald harap kepimpinan, perwakilan perkasakan parti

Ronald Kiandee - Foto fail Bernama
Ronald Kiandee - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee berharap semua kepimpinan dan perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu bersama-sama menyumbang kepada pemerkasaan parti itu.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, perkembangan mutakhir harus meyakinkan bahawa kepimpinan Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin disokong oleh kebanyakan rakyat.

"Buktinya, Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berjaya diberi mandat yang jelas pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru lalu dan semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan pada peringkat dasar Rang Undang-Undang untuk Belanjawan 2021.

"Selain itu, beberapa kaji selidik dan kajian pendapat awam juga telah menunjukkan bahawa tahap sokongan rakyat kepada kepimpinan khususnya dalam konteks kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berada di tahap yang tinggi," katanya hari ini.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung esok 28 November.

Buat julung-julung kalinya kepimpinan parti dan para perwakilan akan bersidang secara maya melalui sidang video dari lokasi-lokasi yang berbeza.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, antara agenda penting ialah cadangan pindaan kepada perlembagaan parti yang bertujuan untuk memperkasa, mengemaskini dan menyelaraskan struktur parti, kepimpinan serta proses pemilihan barisan pemimpin.

"Sebagai forum tertinggi tentang hal ehwal parti, Perhimpunan Agung Tahunan ini tentulah akan dimanfaatkan untuk membincangkan dasar dan hala tuju parti, lebih-lebih lagi di dalam suasana politik mutakhir ini.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, marilah kita jadikan PAT ini sebagai lembaran baharu di dalam perjuangan parti untuk rakyat. Kita hendaklah memperkasa dan memperkemas struktur, keanggotaan parti di semua peringkat," katanya.

Menurutnya, selaku Pengerusi Biro Pilihanraya dan Kajian Bersatu, beliau memohon kerjasama daripada para pemimpin dan ahli-ahli parti di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan untuk menggiatkan usaha ke arah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Di peringkat pusat, penyelarasan bidang tugas telah dimuktamadkan di antara Biro-Biro dengan kerjasama War Room dan Ibu pejabat parti.

"Dalam waktu terdekat, jentera pilihan raya pusat akan mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri agar dapat diselaraskan gerak kerja pilihan raya parti dengan lebih bersasar dan berkesan," katanya.