X

Kindly register in order to view this article
!

Air Asia, CIMB tarik diri taja Liga-M

AB GHANI
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan dua penaja musim lalu iaitu CIMB dan AirAsia telah menyatakan hasrat untuk tidak menaja saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL tetap menghormati hasrat penaja-penaja berkenaan dan kekal positif dengan perancangan yang disusun sebelum ini.

“AirAsia telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak melanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga-M musim 2021.

“Sementara CIMB, MFL telah mengadakan pertemuan dengan mereka pada tiga hari lalu dan menyatakan hajat yang sama di mana pihak kami kini menunggu surat secara rasmi daripada CIMB yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ab Ghani mengumumkan Telekom Malaysia (TM) terus kekal komited untuk menjadi penaja utama Liga Malaysia pada musim depan melalui perjumpaan beliau dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Menurutnya, F&N 100Plus juga meneruskan komitmen sebagai penaja Liga-M berbentuk barangan biarpun tidak meneruskan tajaan secara tunai seperti musim lalu.

Sementara itu, Ab Ghani memberitahu status Shopee selaku penaja masih berada di dalam peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim depan.

“TM masih bersama dengan MFL dan buat masa ini kami sedang mengadakan perbincangan berkenaan ‘post mortem’ Liga Malaysia musim 2020 dan persiapan Liga-M bagi musim depan.

“Saya berharap semua pihak khususnya penyokong-penyokong tidak panik di sebalik ketiadaan penaja-penaja ini di mana MFL tetap akan meneruskan Liga-M seperti biasa di mana MFL kini juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak yang menyatakan minat untuk menjadi penaja baharu.

“Dalam masa yang sama, MFL turut mengalu-alukan kedatangan penaja-penaja baharu dan pintu MFL sentiasa terbuka kepada mereka yang berminat bagi perancangan Liga Malaysia musim 2021 dan tahun-tahun akan datang.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga Malaysia musim 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!