X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada pasukan pengganti

Felda United tidak akan bersaing dalam Liga Premier musim depan susulan kegagalan dalam proses penswastaan FC bersyarikat. - Foto FB Felda United
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiada pasukan yang akan menggantikan tempat Felda United dan UKM FC dalam Liga Premier musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, saingan Liga Premier 2021 akan menyaksikan hanya 10 pasukan mengambil bahagian, sekali gus menepis spekulasi ada pasukan yang bakal mengisi slot yang ditinggalkan UKM FC dan Felda United.

“MFL hanya mengikut protokol dalam saingan liga. Disebabkan Felda United dan UKM FC tidak melepasi syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), maka mereka tidak boleh bermain dalam Liga Premier musim depan.

“Jadi saingan Liga Premier musim depan hanya akan ada 10 pasukan dan di peringkat MFL selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), kami akur dengan apa yang telah ditetapkan FAM,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada 30 Oktober lalu, FAM memutuskan Felda United dan UKM FC gagal dalam proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat selepas mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi musim depan tidak cukup kukuh.

Keputusan itu sekali gus menyebabkan Felda United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran MFL bagi musim 2021, sama ada saingan Liga Super atau Liga Premier.

Biarpun mengemukakan rayuan, Felda United dan UKM FC masih gagal ‘memujuk hati’ FAM, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa melupakan Liga-M 2021.

Mengulas lanjut, Ab Ghani memberitahu, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa pendatang baharu untuk menggantikan tempat kedua-dua pasukan itu.

“Protokol itu apabila dengan pasukan Liga M3 yang menjadi johan dan naib johan yang akan layak ke saingan Liga Premier musim berikutnya. Disebabkan Liga M3 tiada tahun ini, maka tiada pasukan akan ‘naik’ dan Liga Premier musim depan hanya 10 pasukan.

“Felda United dan UKM FC boleh kembali bermain dalam Liga Premier pada tahun akan datang. Tetapi syaratnya kena bermain dalam Liga M3 terlebih dulu dan melengkapkan proses penswastaan untuk melayakkan mereka bermain dalam Liga Premier,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!