Umno, Pas kerjasama tuntut royalti

Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama Ahmad Razif (kiri) dan Ahmad Said (kanan) selepas kedua-dua bekas menteri besar itu nyatakan kesudian bekerjasama dengan kerajaan negeri menuntut bayaran.
Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama Ahmad Razif (kiri) dan Ahmad Said (kanan) selepas kedua-dua bekas menteri besar itu nyatakan kesudian bekerjasama dengan kerajaan negeri menuntut bayaran.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Umno Terengganu hari ini secara terbuka menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Pas untuk menuntut bayaran royalti petroleum dari kerajaan pusat dilakukan sebagaimana perjanjian.

Kesediaan itu disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam persidangan Dun Terengganu hari ini bagi memastikan hak rakyat negeri ini tidak dinafikan.

Ahmad Razif berkata, royalti minyak merupakan isu penting yang harus diberi perhatian kerana bakal memberi impak kepada belanjawan negeri 2019 sekiranya Terengganu tidak menerima bayaran.

“Kalau wang ihsan tidak diperolehi segala perbentangan bajet pada kali ini sekadar retorik saja. Sebab itu saya minta kita buat desakan secara agresif kerana bayaran royalti setiap tahun sepatutnya sudah selesai pada bulan 10.

[ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu, Kelantan layak terima hak yang sama]

“Sekarang masih terhutang jadi kita bimbang perkara ini,” katanya.

Selain Ahmad Razif, Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) secara terbuka turut sama memberi komitmen untuk membantu kerajaan negeri ke Putrajaya bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bersedia menawarkan diri untuk bersama dengan menteri besar bertemu Tun Mahathir bagi mendapatkan hak kerajaan negeri Terengganu kerana inilah yang saya perjuangkan selama ini sehingga saya tersingkir dari jawatan,” kata Ahmad Said.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kemudian berterima kasih atas kesediaan dua bekas menteri besar itu membantu kerajaan negeri mendapatkan hak rakyat Terengganu dan ia mesej jelas bahawa Pas dan Umno boleh duduk bersama walau berbeza politik demi kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:


Dengan perkembangan itu, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang untuk berunding dengan kerajaan pusat memastikan wang royalti dibayar sebagaimana perjanjian.

Bercakap kepada media di luar dewan, Dr Ahmad Samsuri berkata, jawatankuasa itu akan dibentuk sebelum akhir tahun ini.

“Kita bersetuju supaya insiatif memperjuangkan wang royalti ini diambil secara bersama oleh semua pihak sama dari kerajaan atau parti bukan kerajaan untuk sama-sama berbincang cara terbaik bawa isu ini ke Putrajaya,” katanya.