Syarat ketat penjualan arak di KL perlu disokong

DBKL memuktamadkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras. -Foto 123rf
DBKL memuktamadkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras. -Foto 123rf
A
A
A

PADA Mei lalu, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut apabila kenderaan dipandunya dirempuh kereta dipandu seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk dalam kejadian jam 9.20 malam.

Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dan dua anak, Puteri Nur Qistina, 14, serta Amanda Nur Fitrisya, 8.

Ekoran itu, balu mangsa, Zeti Haryanti Hassan, 42, berharap kerajaan dapat memperkasakan undang-undang berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol dengan menambah baik undang-undang dan peraturan berkaitan.

Wanita itu berharap biarlah suaminya menjadi mangsa terakhir dan jangan ada mangsa lain lagi selepas ini.

Katanya, walaupun nyawa dibalas dengan nyawa sekalipun, ia tidak mampu kembalikan suaminya semula.

Ini merupakan satu daripada kisah yang berlaku kepada mangsa-mangsa kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk.Atas sebab itulah, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk meminda undang-undang yang lebih berat berhubung kesalahan tersebut.

Hasilnya, pada 21 Oktober lalu, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 telah diluluskan di Parlimen.

Di bawah Seksyen 45A (1) akta tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Sememangnya usaha yang dilakukan itu disambut baik oleh semua pihak yang sudah muak dengan isu pemandu mabuk.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja.

Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memuktamadkan Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras.

Garis panduan itu menetapkan kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman alkohol bermula 1 Oktober tahun hadapan.

Antara syarat lain ialah premis perniagaan menjual minuman keras yang memabukkan tidak dibenarkan beroperasi berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.

Namun, penjualan alkohol bagi tujuan ubatan tradisional masih dibenarkan.

Tujuan sebenar langkah tersebut diambil ialah untuk mengawal penjualan arak secara terbuka.Langkah ini sangat baik kerana Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain pernah mengeluarkan kenyataan penjualan minuman keras secara terbuka turut memberi kesan kepada berlakunya kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk.

“Di negara kita, minuman keras boleh dibeli 24 jam seperti di kedai serbaneka. Tidak semestinya arak diminum di pusat hiburan atau kelab malam tetapi mungkin di tempat riadah pada waktu malam.

“Ini kerana mudahnya mendapat bekalan dan mereka boleh minum di mana-mana tanpa ada sekatan,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1.

Malangnya, usaha DBKL itu mendapat tentangan sesetengah pihak kerana memberi ancaman kepada perniagaan.

Sepatutnya semua pihak harus menyokong usaha yang dilakukan oleh DBKL kerana masalah pemandu mabuk ini boleh mendatangkan kesan mudarat kepada sesiapa sahaja yang menjadi mangsa tanpa mengira warna kulit.

Golongan bukan Islam masih lagi boleh membeli minuman keras tetapi mereka tidak boleh membeli dengan mudah.

Pembangkang tidak seharusnya cuba menangguk di air yang keruh dan menjadikan isu tersebut sebagai political mileage untuk mereka.

Sebagaimana mereka menyokong akta pemandu mabuk dalam sidang Dewan Rakyat, begitulah juga dengan langkah yang diambil DBKL dalam mengatasi isu yang sama.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian