Asmirul cabar KFA buat laporan polis, SPRM

Mohd Asmirul Anuar
Mohd Asmirul Anuar
A
A
A

BEKAS Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris mencabar KFA melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pengurusan KFA terdahulu.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu tohmahan dan dia bersedia untuk memberi kerjasama jika diperlukan kerana sangat menekankan nilai integriti dalam pengurusan KFA sebelum ini.

"Tidak semudah itu untuk melakukan penyelewengan kerana organisasi ini dipantau oleh juruaudit luar yang dilantik. Apatah lagi Jawatankuasa Eksekutif Organisasi KFA semasa zaman kami turut dianggotai oleh anggota SPRM dan PDRM," katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar di sini hari ini.

Berkaitan manipulasi penyata gaji yang didakwa Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor semalam, Mohd Asmirul Anuar berkata, beliau langsung tidak tahu menahu mengenai kewujudan dua penyata gaji tersebut.

"Sebab itu saya kata kita hendak integriti, jadi eloklah kita buat aduan dan semak di mana palsunya penyata gaji itu. Macam saya kalau cek itu RM1 juta contohnya, saya tandatangan saja dan selebihnya diuruskan oleh pihak pengurusan KFA yang lain," katanya.

Menyentuh mengenai keraguan pada jumlah kutipan Tabung CAS bagi menampung kos perbicaraan kes perpindahan Akhyar Rashid di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), Mohd Asmirul Anuar berkata, terdapat salah faham berkaitan jumlah yang berjaya dikutip.

"Jangkaan kutipan awal bagi tabung itu ialah RM50,000. Bagaimanapun jumlah yang berjaya dipungut hanya RM10,000. Sasaran itu adalah untuk membayar kos guaman yang melebihi RM100,000 tetapi hasil kutipan tidak sampai jumlah sasaran," katanya.

Tambahnya, kutipan itu juga terus dimasukan ke dalam ‘kantung’ akaun KFA, jadi tidak timbul soal dana tersebut disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

“Mengenai kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Presiden KFA pada tahun lepas mengenai jumlah RM50,000 yang sudah habis digunakan, saya fikir berlaku kesilapan dan salah faham semasa kenyataan itu dikeluarkan,” katanya.

Mengenai isu lambakan barang ‘merchandise’ pemberian khusus seperti payung, jersi dan botol air, beliau berkata, ia akan diberikan kepada pembeli tiket bermusim.

"Tetapi disebabkan Covid-19 dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengosongkan stadium menyebabkan lambakan barangan tersebut berlaku.

“Lambakan jersi yang dinyatakan dalam Sidang DUN semalam juga berlaku kerana beberapa pertandingan seperti Piala Presiden, Piala Belia dan Piala Wanita dibatalkan hingga menyebabkan jersi yang telah dicetak tidak dapat dijual,” katanya

Semalam, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mendedahkan pihaknya berjaya mengesan penipuan penyata gaji pemain skuad Lang Merah yang dilakukan pengurusan KFA terdahulu sehingga menyebabkan persatuan berkenaan menanggung hutang hampir RM5 juta kepada dua badan berkanun.

Beliau berkata, mereka dipercayai membuat dua penyata gaji pemain iaitu penyata gaji yang lebih rendah dibuat bagi diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, penyata gaji sebenar yang diberi kepada pemain menyatakan terdapat potongan LHDN dan caruman KWSP dibayar majikan kepada dua pihak terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurusan KFA terdahulu tipu penyata gaji pemain