Warga emas maut bertembung motosikal

Motosikal kedua-dua mangsa remuk dalam kemalangan di Seberang Perak hari ini. - Foto: ihsan pembaca
Motosikal kedua-dua mangsa remuk dalam kemalangan di Seberang Perak hari ini. - Foto: ihsan pembaca
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal yang ditunggang remaja berusia 14 tahun di Kampung Sungai Timah, Seberang Perak, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Mat Saad Saaud, 76, yang berasal dari Sungai Buaya, Teluk Intan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dedap.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Sport dalam perjalanan menuju ke Sungai Buaya.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai hendak masuk ke simpang kanan lalu bertembung dengan remaja yang menunggang Yamaha SS2 dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan ini, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala. Kecuaian memasuki simpang menjadi punca kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan kepala.

“Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil itu pula mengalami luka kecil di lutut.

“Kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom Teluk Intan untuk pemeriksaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: