Anak tikam bapa tegur main telefon bimbit

Seorang anak menikam bapanya dengan sebilah pisau selepas berang akibat ditegur kerana leka bermain telefon bimbit dalam kejadian di Rumah Rakyat Simpang Pertang kira-kira jam 9.30 pagi tadi. (Gambar kecil: Tan Yin Fah)

A
A
A

JELEBU - Seorang anak menikam bapanya dengan sebilah pisau selepas berang akibat ditegur kerana leka bermain telefon bimbit dalam kejadian di Rumah Rakyat Simpang Pertang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, Tan Yin Fah, 59, maut di tempat kejadian selepas cedera parah akibat ditikam pada bahagian depan dan belakang badan.

"Siasatan awal mendapati, mangsa menegur suspek berusia 35 tahun yang asyik bermain telefon bimbit sehingga berlaku pertengkaran.

"Mangsa kemudian memukul suspek dengan kerusi plastik menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa dengan pisau," katanya ketika ditemui di lokasi.

Mangsa, Yin Fah dipercayai menegur suspek berusia 35 tahun yang asyik bermain telefon bimbit sehingga berlaku pertengkaran di rumah mereka di Rumah Rakyat Simpang Pertang.
Mangsa, Yin Fah dipercayai menegur suspek berusia 35 tahun yang asyik bermain telefon bimbit sehingga berlaku pertengkaran di rumah mereka di Rumah Rakyat Simpang Pertang.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas 20 minit kejadian itu di satu lokasi di Simpang Pertang.

Katanya, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada di rumah manakala ibu mangsa yang juga nenek suspek berusia 85 tahun keluar rumah kerana berjumpa saudaranya di kawasan berhampiran.

"Kejadian disedari jiran yang kemudian memaklumkan kepada polis. Polis yang tiba di lokasi menemui mangsa berlumuran darah berhadapan pintu rumah.

Artikel Berkaitan:

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Polis forensik membuat siasatan di rumah mangsa.
Polis forensik membuat siasatan di rumah mangsa.

Maslan berkata, polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek, esok.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, pertengkaran mulut kedua beranak itu bukan pertama kali berlaku.

"Bagaimanapun, tidak sangka ia berakhir dengan kematian. Suspek difahamkan tidak bekerja sejak Mac lalu," katanya.

Anggota polis memegang kerusi dipercayai digunakan mangsa memukul anaknya.
Anggota polis memegang kerusi dipercayai digunakan mangsa memukul anaknya.