Umpama perhitungan 'bapa', 'anak derhaka'

Noh ketika ditemui pemberita, disini, hari ini.
Noh ketika ditemui pemberita, disini, hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyifatkan PRK Dun Semenyih yang bakal berlangsung Mac ini sebagai satu pilihan raya yang bakal menyaksikan perhitungan di antara 'bapa' dan 'anak derhaka'.

Noh yang juga bekas Pengerusi Umno Selangor turut menyifatkan dua parti komponen PH iaitu Bersatu dan Amanah sebagai 'anak derhaka' yang lahir dari serpihan parti politik Melayu utama iaitu Umno dan Pas.

"Orang kata (macam) pertembungan bapa dan anak. Saya tengok dalam politik orang Melayu hari ini, perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu kerana 'dua anak derhaka' iaitu Amanah yang lahir daripada Pas dan Bersatu yang lahir daripada Umno.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjemah rasa kecewa di PRK Semenyih

"Secara kebetulan di Semenyih nanti kita lawan Bersatu. Jadi sekarang bapa asal (Umno dan Pas) telah pun rujuk (bekerjasama), jadi rakyat perlu tolak dua 'anak derhaka' (Bersatu dan Amanah) yang menyebabkan perpecahan ini.

"Jika Umno dan BN menang di Semenyih nanti, secara tidak langsung ia menunjukkan penolakan rakyat secara langsung terhadap kepimpinan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Mesyuarat PIBG SK Sungai Burong dan Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang, hari ini.

Selain itu, Noh berkata kemenangan yang dicapai BN pada PRK Cameron Highland baru-baru ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangkang untuk merampas kemenangan di kerusi Dun Semenyih.

Artikel Berkaitan:

Namun, Noh mengakui dan menerima hakikat bahawa keadaan politik di Selangor dan Pahang sedikit berbeza di mana Pahang adalah sebuah negeri yang dikuasai BN, berbeza situasi di Selangor sebagai pembangkang.

"Tapi berdasarkan pola sokongan rakyat pada hari ini, tidak mustahil BN mampu capai kemenangan di Semenyih. Kita tengok hari ini rakyat cukup marah khususnya soal janji dan manifesto yang gagal ditunaikan kerajaan PH.

"Reaksi dan juga 'mood' rakyat di Cameron Highlands itu, saya yakin akan sampai ke Semenyih lebih-lebih lagi dengan kerjasama yang wujud bersama dengan Pas dan pendekatan yang betul, peluang kita menang di Semenyih itu cerah," katanya.

Dalam pada itu, Noh turut menyindir kerajaan PH yang dilihat tidak senang dengan inisiatif kempen serta populariti yang dikecapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kebelakangan ini.

"Mereka (kerajaan PH) sering mendakwa Najib sebagai pencuri dan perompak, tapi kena ingat pencuri dan perompak hanya terbukti bersalah apabila kesalahannya dibuktikan di mahkamah, sekarang belum dibuktikan dan masih dalam perbicaraan.

"Tetapi kalau menipu atau tak tunai janji, ini tak payah pergi mahkamah, rakyat sendiri boleh nilai. Tak tunai janji dalam manifesto dahulu dan sebagainya," katanya.