Masjid pertama di Malaysia miliki gimnasium

Ab Razak mencuba peralatan yang terdapat di gimnasium Masjid Mukim Sri Aman sambil disaksikan oleh ahli kariah yang lain serta jurulatih.
Ab Razak mencuba peralatan yang terdapat di gimnasium Masjid Mukim Sri Aman sambil disaksikan oleh ahli kariah yang lain serta jurulatih.
A
A
A

PASIR PUTEH - Masjid Mukim Sri Aman di sini melakar sejarah baharu apabila menjadi pusat ibadah pertama yang memiliki kemudahan gimnasium di negara ini.

Pengerusinya, Ab Razak Mat Saad berkata, kemudahan itu diwujudkan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan ahli kariah sekali gus meningkatkan tahap kecergasan mereka untuk beribadah.

"Bila tubuh sihat dan cergas, dapatlah kita beribadah kepada ALLAH sebaik mungkin. Ini merupakan salah satu usaha yang kami lakukan dalam mempelbagaikan peranan masjid supaya tidak tertumpu kepada ibadah semata-mata," katanya kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Gimnasium Masjid Mukim Sri Aman di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Saripuddin Tuan Ismail.

Ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman mengikuti kelas senaman ringkas yang dikelolakan oleh jurulatih kecerdasan.
Ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman mengikuti kelas senaman ringkas yang dikelolakan oleh jurulatih kecerdasan.

Menurut Ab Razak, kemudahan itu diharap mampu memberikan manfaat kepada kira-kira 1,000 ahli kariah dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan bagi memastikan harapan itu mencapai sasaran, pihak masjid telah menyediakan jurulatih khas.

"Budaya (hidup sihat) ini turut dipraktikkan kepada kalangan kaum muslimat bagi memastikan mereka terlibat sama tetapi bagi muslimat, aktiviti dilakukan secara berasingan di sebuah dewan khas.

"Selain itu, kita yakin dan percaya kemudahan ini mampu menarik orang ramai untuk mengimarahkan masjid terutama golongan muda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tuan Saripuddin (kiri) turut hadir memberikan sokongan dan sumbangan kepada ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman.
Tuan Saripuddin (kiri) turut hadir memberikan sokongan dan sumbangan kepada ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman.

Ab Razak berkata, kos untuk menyediakan gimnasium itu mencecah RM17,000 dan ia menggunakan duitnya sendiri sebagai permulaan.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk melengkapkan keperluan yang berkaitan.

Menurutnya, peralatan itu boleh digunakan oleh ahli kariah secara percuma dan ia akan dikenakan sedikit bayaran pada masa hadapan untuk kos penyelenggaraan.

"Setiap kali azan berkumandang perkhidmatan gimnasium akan dihentikan sementara waktu untuk solat berjemaah," katanya.