MP Kuala Lumpur sokong Wilayah Bebas Berniaga

Annuar menyampaikan permit menjaja sementara kepada peniaga di Danau Kota Setapak Julai lalu.
Annuar menyampaikan permit menjaja sementara kepada peniaga di Danau Kota Setapak Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur menyambut baik usaha Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang memperkenalkan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga mulai Ahad ini.

Menerusi kenyataan bersama oleh sembilan ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) berkata, semangat Annuar yang mesra perniagaan dengan menyediakan peluang kepada mereka yang memerlukan pada waktu sukar dan mencabar ini sangat dialu-alukan.

Kenyataan bersama itu daripada Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew.

Turut tersenarai Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Bagaimanapun menurut mereka, Annuar perlu memastikan dasar baharu ini tidak disalahgunakan.

"Pastikan ia tidak menyumbang kepada masalah kebersihan dan kesesakan di bandar.

"Aspek keselamatan juga harus menjadi pertimbangan utama dalam pelaksanaan dasar ini, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, kemudahan kepada penjaja juga perlu diperluaskan kepada perniagaan lain.

"Pandemik ini juga telah memaksa penutupan lebih 30,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Untuk menjadi mesra perniagaan, Menteri WP harus mempermudahkan permohonan lesen bukan hanya untuk penjaja tetapi juga lain-lain perniagaan," katanya.

Dalam kenyataan sama, mereka memaklumkan belum dipanggil untuk sesi pertemuan antara semua ahli Parlimen Kuala Lumpur dengan Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya, pertemuan itu sangat penting untuk perancangan dan perbelanjaan Belanjawan DBKL 2021 yang akan memberi kesan besar kepada kebajikan dan kesejahteraan warga KL.

Kelmarin Annuar memaklumkan yang Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula 15 November ini.

Menerusi inisiatif itu, warga kota boleh berniaga sepanjang tempoh itu dan urusan permohonan lesen akan dipermudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan.

Peniaga disyaratkan perlu memastikan lokasi perniagaan tidak mengganggu lalu-lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan.