Culik kanak-kanak: Polis buru individu sebar rakaman suara palsu

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Daerah Seri Alam sedang memburu individu bertanggungjawab menyebarkan dakwaan palsu kes penculikan kanak-kanak menerusi rakaman suara di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, berita mengenai penculikan kanak-kanak sekitar Masai dan Pasir Gudang itu adalah palsu dan sengaja dilakukan bagi menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.

"Ada individu yang membuat rakaman suara dan menyebarkannya di laman sosial. Ia sekali gus telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Siasatan sedang dilakukan untuk mengenalpasti individu terbabit untuk kita ambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tular satu satu rakaman suara berdurasi seminit 49 saat dikongsi orang ramai mengenai kejadian culik membabitkan van putih yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak di kawasan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang.

Berhubung kejadian itu, Norazam berkata, ia berlaku apabila seorang wanita membuat laporan polis selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh selepas tamat waktu sekolah.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan laporan tersebut telah pun ditarik balik Selasa lalu kerana berlaku salah faham dan kekeliruan.

"Tiada kejadian culik berlaku, sebaliknya ibu kanak-kanak berkenaan panik apabila mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh.

Artikel Berkaitan:

"Pada jam kira-kira 6 petang, hari yang sama, anak pengadu pulang ke rumah di Taman Bukit Dahlia dengan menumpang sebuah kenderaan," katanya.

Beliau berkata, jika didapati berlaku penyebaran berita palsu menerusi aplikasi atau laman media sosial, individu yang menyebarkannya boleh disabitkan atas satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.