PRK Cameron Highlands, peringatan buat kerajaan, kata MB Selangor

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini dapat menjadi peringatan buat kepimpinan kerajaan di Putrajaya agar lebih kemas dalam memberi perkhidmatan buat rakyat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan PRK berkenaan adalah merupakan pengajaran bagi menunjukkan kekuatan kerajaan bukannya menjadi jaminan bagi kemenangan dalam mana-mana PRK.

Beliau berkata, strategi yang diatur setiap parti menjadi pendorong besar bagi menjamin kemenangan calon yang bertanding.

"Apatah lagi transisi kerajaan persekutuan pada masa kini belum membuahkan hasil lumayan.

"Keputusan ini bagi saya jadi pengajaran buat semua bahawa kekuatan sebuah kerajaan itu bukan jaminan bagi kemenangan sesebuah parti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kejayaan PH mengambil alih kepimpinan kerajaan di Putrajaya dapat menjanjikan perbincangan lebih baik dalam menyelesaikan isu-isu kecil yang dihadapi sebelum ini.

Sebagai contoh, Amirudin berkata sejak 10 tahun lalu, rakyat Selangor menjadi mangsa disebabkan mainan politik kerajaan pusat pada waktu itu yang menutup ruang perbincangan bagi penyelesaian isu-isu tertangguh sebelum ini.

"Ini terbukti apabila Kerajaan Selangor dapat selesaikan isu penstrukturan semula air kurang dua bulan tempoh saya memegang jawatan dan PH mengambil alih Putrajaya," katanya.

Artikel Berkaitan: