KPKT sifatkan bajet inklusif, peduli rakyat

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam sebagai satu bajet yang inklusif serta peduli rakyat.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, dalam situasi ekonomi tidak stabil akibat pandemik koronavirus (Covid-19), beliau sangat bersyukur kerana sistem kewangan negara masih mampu untuk memperuntukkan satu belanjawan yang mengembang untuk kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, bagi pihak KPKT, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah memberi peruntukan besar kepada KPKT sebanyak RM5.368 bilion berbanding peruntukan belanjawan tahun ini.

Beliau berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, terdapat beberapa berita gembira yang diumumkan kerajaan Persekutuan dalam usaha menyediakan perumahan selesa dan berkualiti dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

"Daripada jumlah itu ia meliputi RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat dan RM315 juta untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB.

"Turut diperuntukkan sebanyak RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam.

"Selain itu, sebanyak RM310 juta pula diperuntukkan bagi Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pengecualian duti setem sepenuhnya turut diberikan kerajaan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000 termasuk pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai turut dilanjutkan selama lima tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih juga buat kerajaan yang memberi pertimbangan sewajarnya dengan menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan bermula tahun depan.

"Dengan berteraskan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, saya melihat Belanjawan 2021 yang dibentangkan ini khususnya untuk KPKT merupakan Belanjawan yang bersifat inklusif, komprehensif serta berpaksikan kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara," katanya.

Selain itu, Zuraida juga menyeru rakyat untuk terus bersama kerajaan dalam perjuangan memerangi koronavirus (Covid-19) demi memelihara masa depan negara yang lebih baik untuk semua.

Katanya, semoga belanjawan ini disokong oleh semua ahli Parlimen sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.