Sah Sarawak United kekal

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Posa Majais
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Posa Majais
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengesahkan Sarawak United tidak akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Posa memberitahu, pasukan dari Kepulauan Borneo itu komited akan terus memberikan cabaran di pentas Liga-M dengan melakukan persiapan lebih rapi bagi menghadapi saingan musim baharu 2021.

“Sarawak yang mempunyai sejarah tersendiri dalam saingan bola sepak tanah air bukan hanya akan memberi cabaran pada saingan Liga-M 2021 tetapi juga musim-musim seterusnya.

“Sekali lagi ingin saya tegaskan di sini bahawa FAS akan mengambil pelbagai tindakan proaktif dalam menyelesaikan segala masalah melibatkan barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan ini.

“Sama seperti beberapa persatuan bola sepak (FA) lain yang berdepan masalah kewangan, Sarawak juga berdepan situasi sama. Tetapi saya optimis FAS mampu menyelesaikan segala masalah berbangkit.

“Mengenai pelesenan kelab bersyarat pula, kami juga dalam proses melengkapkan beberapa perkara lagi yang dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, sebuah portal berita di Sarawak melaporkan kenyataan Presiden FAS, Datuk Posa Majais yang membayangkan Sarawak United akan menarik diri daripada saingan Liga-M musim depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas FAS mendapati mereka kini berdepan masalah kewangan yang serius dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan memberitahu, pihaknya tidak menerima surat rasmi daripada FAS mengenai penarikan diri daripa saingan liga musim depan.