Belanjawan 2021: Jangan abaikan koperasi

Nordin Salleh
Nordin Salleh
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan diminta tidak mengabaikan koperasi pada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh berkata, tiada sebab untuk pihak kerajaan tidak memberi rangsangan (bantuan) kerana koperasi yang turut terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ini kerana sebahagian besar 6.1 juta ahli koperasi yang berdaftar dengan 14,625 koperasi terdiri daripada golongan B40.

"Sebelum ini, kita sedikit terkilan kerana tidak menerima sebarang peruntukan dalam pakej rangsangan ekonomi kesan penularan Covid-19 sebelum ini.

"Kita faham tanggungjawab kerajaan yang terpaksa memilih, tetapi sebagai sektor yang majoriti ahlinya dalam kalangan orang Melayu, seharusnya kita turut diberikan keutamaan dalam Bajet 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel e-Rahn di Hotel Zenith sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah SKM Pahang, Norazlan Anuar dan Pengerusi Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur), Hishamuddin Abdullah.

Seramai 60 peserta terdiri daripada ahli-ahli koperasi dari Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan menyertai kursus itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nordin berkata, sektor koperasi juga antara penyumbang ekonomi negara tidak seharusnya menghilang kelayakan koperasi untuk menerima peruntukan daripada kerajaan.

Selain itu, katanya, koperasi turut membantu ahli-ahlinya yang terjejas dengan Covid-19 menerusi pelbagai bantuan termasuk pinjaman dan moratorium.