PAC akan bentang tiga laporan

Kah Woh
Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhasrat membentangkan sekurang-kurangnya tiga laporan dalam dua minggu akan datang.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, ketiga-tiga laporan itu membabitkan isu Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) serta Penjualan Tanah Milik Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"PAC juga akan mengambil langkah untuk menyiapkan laporan-laporan yang belum dimuktamadkan iaitu isu Kawalan Pekerja Asing dan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS).

"PAC juga berhasrat memanggil semula Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang untuk memberikan taklimat kepada ahli-ahli PAC berkenaan isu yang telah dicadangkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu terbabit ialah Pengurusan Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Perumahan Generasi Kedua Felda, Pelan Pemulihan Syarikat Penerbangan MAS dan Pertukaran Tanah Kementerian Pertahanan.

"Selain itu, isu lain turut membabitkan 1BestariNet dan Sistem Automated Enforcement Systems (AES)," katanya.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi membolehkan ahli-ahli PAC khasnya ahli baharu mendapat penjelasan lanjut sebelum PAC membuat keputusan atas isu-isu berkenaan.

Artikel Berkaitan: